Isu kenaikan tambang feri Pangkor dibawa ke MMK

Iklan

IPOH - Isu kenaikan tambang perkhidmatan feri ke Pulau Pangkor dibawa ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk diambil tindakan dan penyelesaian segera.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, permohonan untuk kenaikan tambang feri itu telah dibuat pengusaha sejak Mac lepas dan beberapa siri perjumpaan telah dilakukan sebelum kelulusan diberikan.

Iklan
Iklan

"Kelulusan ini (kenaikan tambang) dibuat oleh kementerian (Kementerian Pengangkutan), bukannya kerajaan negeri.

"Begitupun kita akur perkara ini menjadi satu kegusaran kalangan penggiat industri yang mengharapkan lebih ramai pelancong datang menaiki feri.

Iklan

"Kita telahpun membawa isu ini kepada MMK dan akan dikongsikan kemudian langkah serta tindakan yang dibuat bagi mengatasi perkara ini," katanya kepada pemberita sempena sidang akhbar program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, perkara berkenaan akan ditangani bersama Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang bertanggungjawab dalam pengurusan pengangkutan awam.

Iklan

Katanya, buat masa ini kerajaan negeri menyedari bahawa kenaikan tambang feri dari Jeti Lumut dan Marina Island ke Pulau Pangkor sejak 1 Julai itu tidak dapat dielakkan atas beberapa faktor antaranya peningkatan kos keseluruhan operasi termasuk minyak.

"Kenaikan harga itu beralasan, lebih kepada kuasa pasaran dan saya kira ini di luar kawalan kita jugalah. Apapun kita akan bincangkan perkara ini nanti bersama pihak kementerian.

"Ini termasuk kemungkinan kenaikan tambang akan membawa kesan mudarat terhadap kehadiran pelancong ke pulau peranginan itu, kita akan lihat keadaannya semasa cuti panjang nanti," katanya.

Berkuat kuasa Jumaat lalu, tambang feri ke Pulau Pangkor dinaikkan kepada RM10 bagi perjalanan sehala untuk dewasa atau RM20 untuk pergi balik, manakala kanak-kanak RM5.50 sehala atau RM11 pergi balik, berbanding sebelum ini tiket sehala dewasa RM7 atau RM14 pergi balik dan kanak-kanak RM2.50 sehala atau RM5 pergi balik.

Kenaikan harga tambang itu diakui oleh Operator Feri Jeti Lumut, Rositah Abdul Razak yang menjelaskan perkara itu tidak dapat dielakkan kerana peningkatan kos operasi termasuklah minyak, penyelenggaraan dan kos alat ganti komponen jentera feri.