KETIKA mana hari ini, Orang Melayu berpusu-pusu menyerbu panggung wayang gambar untuk melihat satu sejarah kebangkitan Melayu.
Ini membuktikan bahawa dengan kesatuan orang Melayu suatu yang luar biasa boleh berlaku ... setidaknya; filem Melayu tidak lagi dilihat sampah.
Mat Kilau, satu watak dalam sejarah telah kembali dan sedang mengingatkan kita bahawa orang Melayu boleh memperjuangkan nasib bangsanya.
Namun saya teringat pada satu lagi watak dalam sejarah yang seolah-olahnya sangat diperlukan dan harus kembali untuk menyedarkan bangsa ini yang sedang tenggelam dalam tidur yang dalam, iaitu Hang Jebat.
Himpunan ICERD dan bantahan pada tragedi Adib, telah mencuba bangsa ini.
Di belakang kebangkitan ini adalah ketakutan tentang Hantu Kom-Kom bernama DAP.
Melayu pernah bangkit.
Namun kebangkitan yang merubah kerajaan hanyalah digunakan oleh sebahagian pemimpin Melayu untuk kepentingan mereka.
Kononnya tertegaklah kerajaan Melayu Islam namun penindasan, kezaliman, tekanan terhadap rakyat, dan ketidakadilan terus berlaku.
Yang kekal meragut keuntungan hanyalah pihak tertentu, dan majoriti rakyat kekal tertekan.
Namun orang Melayu terus sabar dan berharap.
Kemudian bertimpa dari satu ujian kepada ujian yang lain.
Ujian pandemik sudah benar-benar menguji, datang pulak tragedi banjir yang memusnahkan.
Kegagalan ketika mana pandemik dan banjir berlaku adalah cukup-cukup jelas.
Kematian dan kehilangan harta benda.
Rakyat telah mengungguli slogan"kita jaga kita” dan turun kelapangan membantu sedayanya.
Kemarahan bersulam ganti dengan reda dan sabar, ketika mana rakyat bertimpa-timpa turun membantu.
Terselit antara tragedi banjir, lakon wayang sebahagian pemimpin yang terus cuba meguji kesabaran dan melakukan ujian kepandaian kepada rakyat, dengan adegan-adegan merenjis air pada selut dan tahi burung dan cicak.
Namun kita sebenarnya gagal melakukan muhasabah tentang punca sebenar kegagalan pemimpin dalam mengurus, mengelak dan mencari penyelesaian tentang pandemik dan punca tragedi banjir itu.
Surut air, maka surutlah kemarahan dan rakyat sekali lagi, mengungguli kesabaran kita.
Dari banjir selut ke banjir balak.
Alam menyampaikan peringatan atas kerakusan sebahagian manusia.
Ketamakan sebahagian kita menjadi mimpi ngeri sebahagian yang lain.
Banjir kilat yang menyusul terus menjadi loceng peringatan bahawa kebodoh-sombongan pemimpin dalam meletakkan rakyat sebagai keutamaan dalam amanah mereka.
Dan rakyat terus diminta bersabar.
Menjelang kesan pandemik yang semakin bubar.
Rakyat kembali bergelut mencari pendapatan.
Sebahagian yang tidak makan gaji merasa beban yang lebih teruk dari yang lain.
Peniaga dan majikan bergelut untuk pulangan semula modal kesan kemarau ekonomi yang panjang dan hasrat untuk tidak membuang pekerja mereka.
Mereka yang hilang pekerjaan mahupun pendapatan menggagahi trauma tekanan mental untuk menyambung kehidupan keluarga. Mereka bersabar.
Belum usai kegersangan ekonomi, rakyat terhimpit lagi dengan kenaikkan harga barang bermula dengan harga besi dan bahan binaan, petrol dan diesel hingga ke barangan rumah, minyak masak, sayur, telur dan ayam.
Terdengar slogan-slogan bodoh sebahagian politikus untuk membuka ruang import seluasnya atau untuk rakyat mencatu makanan kita.
Mereka sedang menguji lagi kesabaran rakyat.
Mereka berlakon tidak tahu apabila ruang import dibuka seluasnya, rakyat kononnya akan tenang dengan harga yang murah seketika.
Namun pengusaha, pengeluar dan penternak tempatan menjadi mangsa apabila industri tempatan musnah dan rakyat menjadi hamba 'import' yang boleh sahaja naik harga, apabila pasaran perdagangan terjejas oleh apa sahaja alasan.
Jawatankuasa dan Majlis Keselamatan Makanan tinggal sebagai satu lagi usaha memperbodohkan rakyat untuk mengajak kita bersabar.
Namun yang kita acapkali dengar dari pemimpin kita adalah pertikaian kerusi politik dan laungan untuk pilihanraya umum untuk mencapai kestabilan.
Kita sekali lagi diuji untuk menilai kepandaian rakyat samada pilihan raya yang dilaungkan benar-benar untuk mendapatkan kestabilan politik atau untuk menyelamatkan sebahagian pemimpin dari terjerut dalam pengadilan yang sedang menentukan sama ada mereka telah benar-benar merompak dan culas dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
Ia juga sebenarnya adalah simbol sama ada kita mahu reda dan sabar pada sistem politik yang rasuah, korup dan memperbodohkan rakyat.
Terbaru, yang dilaungkan adalah untuk merebut jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Adakah posisi ini akan merubah nasib rakyat ?
Sama saja ketamakan mereka, walau manapun belahan politik.
Dan sebenarnya ada banyak lagi cabaran bangsa ini yang kita tidak sedari yang hanya mampu terbongkar jika sebuah kerajaan adil mampu dibangunkan rakyat.
Generasi muda yang tertinggal dalam pendidikan, kehilangan pelaburan asing, mata wang yang semakin mengecil, perbelanjaan kerajaan yang luar biasa namun tiada dampak untuk rakyat, korupsi, penyalahgunaan dan ketirisan.
Semua ini dan banyak lagi sebenarnya yang terbenam dari pengetahuan umum dalam permainan pemegang amanah dan kesabaran atau ketakutan penjawat awam dari mampu berbuat apa-apa.
Bangsa ini sungguh bersabar ... sabar atau sangat keliru.
Dalam bangsa ini juga ada sekumpulan rakyat, yang kerana sabar mereka, atau kerana sifat tamak untuk mengejar kepentingan peribadi, atau sedikit ganjaran jangka pendek telah membenarkan korupsi, penindasan dan kezaliman berlaku dihadapan mata mereka.
Malangnya juga, Bangsa Pahlawan ini tetap bersabar walau mereka inilah sebenarnya pengkhianat kepada bangsa.
Kenapa saya kaitkan kesabaran dan kebangkitan Bangsa Melayu pada awal penulisan ini sedangkan masalah ini dirundung oleh semua rakyat Malaysia.
Ini kerana hampir semua masalah yang saya perkatakan berlaku pada hari ini adalah ketika pemimpin Melayu yang memegang amanah.
Saya juga percaya kata kunci kepada permasalahan negara dan politik hari ini terletak pada Bangsa Melayu, jika mereka ingin merubah nasib masa depan mereka.
Saya mengingati kata-kata seorang adik pada ketika saya meletak jawatan dalam posisi penting di pundak-pundak kuasa.
"Apabila orang-orang baik lari dari pundak-pundak kuasa maka yang tinggal hanyalah para perompok, penyamun, dan penzalim memerintah.”
Sama istilahnya ini mungkin dengan kata-kata keramat oleh pejuang penindasan warga kulit hitam di Amerika, Martin Luther King dengan kata-katanya –"Tragedi paling besar bukanlah penindasan dan kekejaman oleh orang jahat, namun tragedi besar ini adalah ketika mana orang-orang baik (bersabar dan) berdiam diri”.
Saya berasa sangat aneh bangsa ini, sabarnya luar biasa.
Bilakah bangsa ini mampu bangkit dari dibuli dan ditindas?
Bila agaknya Jebat akan bangkit?
Bilakah laungan, Raja Adil, Raja disembah, Raja Zalim, Raja di Sanggah akan bergema kembali.
Bangsa sangat memerlukan ini ... sekarang. Saya percaya ada Jebat dalam setiap tubuh kita.
Maka bangkitlah dengan tujuan yang benar, dan pertahankanlah masa depan bangsa dan negara ini ...
*Datuk Nizam Mahshar adalah Presiden, Ikatan Inteligentsia Membangun Malaysia (I2MAM), pernah memimpin beberapa badan strategik dan pemikir dan arkitek kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030). Beliau pernah menjadi ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, memimpin Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan beberapa gerakan rakyat dalam isu nasional.