Pulara kembali bersama 10 program khas apresiasi kebudayaan Perak

Iklan
Nolee Ashilin (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Ipoh pada Rabu.

IPOH - Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) yang menjadi pentas pertemuan utama seniman, sasterawan dan budayawan dunia kembali dianjurkan tahun ini selepas kali terakhir diadakan pada 2018 lalu akibat pandemik Covid-19.

Penganjuran Pulara edisi ke-10 kali ini lebih istimewa apabila diadakan bersama 10 program khas sempena Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak.

Iklan
Iklan

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, setakat ini, Pulara telah menerima lebih 30 penyertaan dari pelbagai negara meskipun baru empat hari pendaftaran dibuka.

Menurutnya, keadaan itu membuktikan festival berkenaan masih mendapat tempat dan menjadi 'signature event' kepada kerajaan Perak dalam usaha membudayakan seni.

Iklan

"Setiap tahun, Pulara diadakan di Pulau Pangkor, namun kali ini lokasi utama festival di Ipoh, selari dengan usaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam menjadikan bandar raya ini sebagai bandar seni.

"Untuk tahun ini kita sasarkan penyertaan dari lapan negara antaranya Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura, Jepun dan Australia," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, Mesran Mohd Yusop; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Tourism Perak Management Berhad, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Pulara dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 10 September depan dengan pengisian program persidangan bertajuk 'Bahasa dan Persuratan Melayu Merentasi Zaman', bicara karya, secawan kopi seuntai puisi serta ruang pameran dikendalikan Persatuan Puisi dan Lagu Rakyat Ipoh.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata, program Apresiasi Seni Budaya dan Warisan Negeri Perak itu merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, 10 program yang diatur itu merangkumi bidang budaya, seni visual, teater, muzik, sastera, kraf dan tari, diadakan di beberapa lokasi seluruh negeri bermula Julai hingga Disember depan.

"Kementerian memperuntukkan sebanyak RM1.18 juta melalui Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada beberapa NGO seni budaya dan syarikat seni di negeri ini bagi menampung sebahagian kos pelaksana program, manakala sebahagian lagi ditanggung kerajaan negeri," katanya.

Selain Pulara, program yang bakal dianjurkan sepanjang bulan tersebut adalah Temasya Budaya Negeri Perak, Festival Kraf Negeri Perak, Festival Makanan Tradisional Warisan Negeri Perak dan Festival Tari Malaysia dan Kejuaraan Tari Kanak-Kanak peringkat Negeri Perak.

Turut diadakan, Ipoh Music Symposium keempat, Program Pior Perak-Jerayawara Art Trail, Pementasan Bangsawan, Hikayat Segenta Alam, Pementasan Teater: Sungai Manik Berdarah dan Akademi Teater Perak.

Nolee Ashilin berharap, penganjuran program tersebut dapat membantu mempromosikan keunikan negeri ini kepada masyarakat luar.

Jelasnya, kehadiran pelancong luar juga dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan dan kebudayaan negeri ini sekaligus meningkatkan ekonomi setiap pemain industri yang terlibat.

"Kita yakin program ini dapat beri impak lebih besar untuk kita semarakkan kembali aktiviti seni dan budaya dalam tempoh fasa peralihan endemik ini.

"Semasa Covid-19 dulu, kita tidak mampu mengadakan acara dalam skala lebih besar sedangkan penggiat seni yang ada di dalam negeri ini sendiri terlalu ramai," katanya.