SHAH ALAM - Padah melanggar hak cipta perisian karya sastera dalam bentuk program komputer, sebuah syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap SMT Industries Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas Pengarahnya, Lee Kum Seng, 53, mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa memiliki empat salinan langgaran karya sastera dalam bentuk program komputer yang telah melanggar hak cipta sebuah perbadanan di California, Amerika Syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat tersebut di Taman Perindustrian Puchong Utama pada kira-kira jam 2 petang 28 Julai 2015 mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hakcipta 1987 dan dihukum mengikut Seksyen 41 (1) (i) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM20,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penjual pakaian, Tee Sook Leng, 40, didenda RM4,080 selepas mengaku memiliki dan menjual 51 helai baju dan tali pinggang tiruan jenama Burberry.
Sook Leng didakwa melakukan perbuatan itu di premisnya di sini pada kira-kira jam 12 tengah hari 22 April 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan dipakaikan cap dagangan berdaftar atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie dan Pegawai Pendakwa Mohd Haniff Md Alimuddin serta Nor Wahidah Muhammad daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna manakala kedua-dua OKS tidak diwakili peguam. - Bernama