KUALA BESUT - Seramai 13 orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas bot laju dinaiki mereka hampir terbalik ketika dalam perjalanan ke Pulau Perhentian dekat sini kira-kira 9.50 pagi tadi.
Ketua Pejabat Laut Kuala Besut, Azmi Ab Rani berkata, bot yang berlepas dari jeti Kuala Besut itu dikatakan mengalami masalah teknikal di bahagian enjin menyebabkan bot yang sedang bergerak tidak dapat dikawal lalu tiba-tiba menjadi senget sebelah berhampiran Pulau Rhu tidak jauh dari muara Kuala Besut.
Iklan
Iklan
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penumpang berusia 3 hingga 40 tahun terhumban ke dalam laut.
"Bagaimanapun semua mangsa terselamat dan dirawat sebagai pesakit luar kecuali kanak- kanak lelaki itu terpaksa ditahan di Hospital Besut untuk pemantauan lanjut kerana tertelan air.
"Semua 13 penumpang yang merupakan pelancong tempatan dan seorang pemandu bot dalam perjalanan untuk bercuti ke pulau tersebut didapati memakai jaket keselamatan,” katanya.
Azmi berkata, bot tersebut tidak terbalik dan kembali kepada keadaan asal namun air masuk sedikit di dalam bot berkenaan ketika ia senget.
Menurutnya, pemandu bot berusia 36 tahun yang merupakan penduduk tempatan juga tidak mengalami kecederaan,” katanya.