UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakar sejarah tersendiri apabila muncul buat kali pertama juara Piala Menteri Pengajian Tinggi edisi ke-10 apabila menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan agregat 3-0 setelah menang perlawanan kedua 2-0 di Stadium UKM, Bangi.
Berbekalkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium UPNM di Sungai Besi, Kuala Lumpur minggu lalu, pelawat berdepan kesukaran menentang tuan rumah UKM yang juga merupakan juara tiga kali kejohanan.
Tambah mendebarkan, Stadium UKM mencetuskan suasana luar biasa apabila dibanjiri lebih 5,000 para penyokong kedua-dua IPT dengan sorakan gendang dan chant tanpa henti dalam aksi yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Namun aksi UPNM ternyata begitu kental sekalipun UKM lebih banyak menguasai permainan secara keseluruhan bermula dengan pemain tengah Muhammad Ikhmal Zuri Ismadi melakukan rembatan dari jauh untuk pada menghasilkan jaringan pertama pelawat pada minit ke-16.
Ia sekali gus mengejutkan tuan rumah UKM yang terus bekerja keras untuk mencari jaringan dan terlepas beberapa peluang keemasan terutama dihampakan oleh kekebalan penjaga gol UPNM, G Navind Raj.
Pada ketika UKM melakukan asakan demi asakan ke kubu UPNM, Kapten pelawat N Thineswaran meleburkan harapan UKM untuk bangkit dengan jaringan cantik ke sudut yang sukar untuk UPNM selesa di depan dengan 2-0.
UPNM turut merangkul dua anugerah kejohanan menerusi pemain terbaik perlawanan akhir N Thineswaran dan penjaring terbanyak kejohanan Muhammad Hadi Mohamad.
Selaku juara, UPNM menerima hadiah RM10,000 berserta trofi, manakala UKM selaku naib juara menerima hadiah RM7,000 ketiga UnisZA dan UiTM keempat.