Ibu tunggal perlu pembelaan

Iklan
Latipah (kanan) berniaga sendiri dengan menjual gubahan bunga hiasan bagi menampung keperluan hidup diri dan anak-anaknya.

SHAH ALAM - Kumpulan ibu tunggal adalah antara golongan yang menghadapi pelbagai dugaan dalam hidup mereka, sama ada dari sudut pekerjaan, pendapatan mahu pun kebajikan.

Antara isu yang sering dihadapi oleh mereka termasuklah ketiadaan sistem sokongan bagi kumpulan berkenaan yang didakwa tidak cukup efektif bagi membela nasib golongan berkenaan.

Iklan
Iklan

Wartawan Sinar Harian, MUHAMMAD AMNAN HIBRAHIM dan RAJA NUR FAZNIE AIDA menemu bual beberapa ibu tunggal bagi menyelami kesukaran yang dihadapi oleh mereka.

Selain berdepan cabaran membesarkan anak-anak secara sendirian, mereka turut berdepan dengan isu kesukaran mendapatkan pendapatan yang stabil, selain kekurangan sistem sokongan yang diperlukan.

Iklan

Ibu tunggal, Asmiza Abdullah, 39, mengakui berdepan kesukaran untuk mendapatkan pendapatan sebagai peniaga makanan sejak pandemik melanda negara dua tahun lalu.

Asmiza yang kini membesarkan dua orang anaknya yang masih bersekolah juga melalui kehidupan yang agak mencabar dan membebankan, sementelah dia langsung tidak menerima sebarang nafkah daripada bekas suaminya.

Iklan

"Dari segi perbelanjaan memang datang daripada hasil jualan pelbagai jenis makanan seperti rojak, ayam gunting, kuih-muih dan minuman,” katanya yang menetap di Pendang, Kedah ketika dihubungi pada Rabu.

Jelas Asmiza lagi, dia pernah berhenti berniaga buat sementara waktu selepas kanopi gerai jualan makanannya rosak akibat ribut.

"Kemudian, saya bangkit semula berniaga di kios yang diusahakan hasil daripada modal yang dikumpulkan.

"Saya tidak berpeluang untuk mendapatkan kerja tetap kerana keperluan dan tanggungjawab untuk menguruskan persekolahan dua anak, masing-masing berusia 15 dan 12 tahun.

"Di sini memang tidak ada perkhidmatan hantar anak ke sekolah, jadi ibu bapa sendiri yang perlu ambil dan hantar anak ke sekolah,” ujarnya.

Nolia

Seorang lagi ibu tunggal, Nolia Mohamed, 50, berkata, dia terpaksa membesarkan lima orang anaknya secara bersendirian melalui hasil menjual roti sejak lebih 20 tahun lalu tanpa bantuan nafkah daripada bekas suami.

Nolia mengakui mula menghadapi kesukaran selepas dia tidak lagi berniaga sejak negara dilanda pandemik, selain dikesan menghidap penyakit tiroid dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, kehidupan bersama empat orang anak yang masih bersekolah dan sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi menjadi lebih ‘getir’ selepas kediaman mereka mengalami kerosakan teruk sehingga tidak boleh didiami akibat banjir pada akhir tahun lalu.

"Saya terpaksa tangguhkan usaha untuk membaiki rumah kerana nak tumpu untuk penuhi keperluan diri, anak dan juga pengurusan tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah,” katanya yang tinggal bersama anak sulungnya berusia 28 tahun di sini.

Dalam pada itu, Latipah Mohd Yusoff, 47, berkata, tekanan kos sara hidup sememangnya amat dirasai oleh golongan ibu tunggal, lebih-lebih lagi mereka yang membesarkan anak tanpa bantuan nafkah.

"Pelajaran anak-anak pun kadangkala boleh terganggu sebab ibu bertungkus-lumus kerja seorang diri untuk tampung perbelanjaan keluarga,” ujarnya yang membesarkan empat orang anaknya sebagai seorang ibu tunggal.

Jelas Latipah, kos yang terpaksa ditanggung pihak ibu dalam menguruskan tuntutan nafkah anak di mahkamah syariah juga agak membebankan kerana ia melibatkan pelbagai perbelanjaan dan penyediaan dokumen.

Menurutnya lagi, kebiasaannya kes tuntutan nafkah mengambil masa yang lama sehingga ada anak yang sudah meningkat dewasa dan bekerja.