BUTTERWORTH - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan program baharu, Dana Harapan Strategi Realisasi Keusahawanan (HERS FUND) membabitkan kos RM20 juta pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program khas itu akan memberi keutamaan dan kepentingan kepada usahawan wanita dalam bidang keusahawanan.
Menurutnya, ia bertujuan untuk memberi bimbingan yang intensif bagi meningkatkan kapasiti berkonsepkan mentor-mentee.
"Pelaksanaan program ini selaras dengan Teras 5 iaitu Memperkasa Wanita Luar Bandar dalam Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar.
"Sebagai permulaan, di bawah program HERS FUND ini, lima usahawanita berjaya daripada kalangan peserta Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED 2) akan membantu lebih 40 usahawanita lain dalam mengembangkan perniagaan masing-masing," katanya tadi.
Rina berkata, sehingga kini, hanya 27 peratus dari 83,693 usahawan desa merupakan usahawanita.
"Di bawah program HERS FUND ini, KPLB mensasarkan peningkatan usahawanita sehingga 40 peratus. Pada waktu ini, kita mempunyai 22,597 usahawanita.
"Selain program ini, ada banyak lagi program lain dalam melahirkan lebih ramai usahawanita dengan sasaran peningkatan 40 peratus iaitu lebih 35,000 usahawanita," katanya.
Tambahnya, selain HERS FUND, KPLB juga akan melaksanakan program Rural to Global pada tahun ini.
Rina berkata, program itu bertujuan untuk membantu membuka pasaran antarabangsa kepada usahawan luar bandar yang telah menghasilkan produk berkualiti.
"Selain menghasilkan produk berkualiti, usahawan ini juga mesti memiliki kriteria antaranya memenuhi piawaian untuk pasaran eksport dan mempunyai potensi untuk berdaya saing di pasaran yang hendak diterokai.
"Pembangunan produk usahawan berkenaan yang telah dikenal pasti berpotensi untuk menembusi pasaran global akan dibantu mendapatkan pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Good Manufacturing Practice, Hazard Analysis Critical Control Point dan logo Barangan Buatan Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Utara 1 di Midtown Perda, Tasek Gelugor di sini.
Seramai 218 pempamer menyertai KUD Zon Utara 1 dengan 162 reruai usahawan desa, dua reruai pembiayaan, 10 reruai makanan dan minuman serta 10 pempamer mesin.
Selain itu, terdapat lapan reruai inovasi, 20 trak makanan, minuman dan perkhidmatan dan enam reruai Rural Business Outlet menyertai KUD Zon Utara 1.