Pahang gerakan 120 sukarelawan ke Baling, Kedah

Iklan
Wan Rosdy bersama 120 sukarelawan Pahang yang akan menjayakan misi bantuan ke Baling, Kedah.

KUANTAN - Kerajaan Pahang menggerakkan 120 sukarelawan ke Baling, Kedah bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penghantaran sukarelawan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri kepada mangsa yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Kita (kerajaan Pahang) pernah menerima bantuan daripada Kedah sebelum ini ketika terkesan akibat banjir, selain menerima bantuan dari negeri lain.

"Jadi kita wajib membantu mereka dan bantuan sebegini merupakan tuntutan agama." katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya pada Khamis.

Iklan

Menurut Wan Rosdy, sukarelawan yang tampil juga melebihi sasaran awal iaitu hanya 50 hingga ke 60 orang.

"Saya amat berharap misi ini sikit sebanyak dapat membantu mangsa di sana,” katanya.

Iklan

Wan Rosdy melakukan 'flag-off' pelepasan konvoi terdiri daripada 120 anggota sukarelawan yang bertolak ke Baling kira-kira jam 12 tengah malam pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, beliau turut bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk di Baling sehingga mengakibatkan tiga nyawa terkorban selain seramai 334 mangsa terpaksa dipindahkan di pusat pemindahan sementara.

Katanya, misi bantuan kemanusiaan melibatkan penyertaan lebih 120 orang sukarelawan merangkumi kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Skuad Bencana Pahang dan lain-lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Mereka (sukarelawan) ini akan bergerak pada tengah malam ini dan setibanya di Baling, mereka akan membantu mangsa yang terlibat termasuk dari segi membersihkan rumah, kemudahan yang terkesan serta mengagihkan barangan keperluan termasuk bekalan makanan dan minuman," katanya.

Tambah Wan Rosdy, bantuan ini dapat meringankan lagi usaha yang dilaksanakan jabatan dan agensi kerajaan di bawah penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Baling yang terbabit banjir.

"Kita juga membawa dua lori bantuan makanan kering serta air minuman untuk diberikan kepada mangsa terjejas.

"Bantuan awal sebegini biasanya amat diperlukan mangsa terutamanya mereka yang berteduh di pusat pemindahan banjir selepas rumah musnah akibat bencana itu,” katanya.

Beliau turut menasihati sukarelawan agar menjaga keselamatan diri dan disiplin ketika dalam perjalanan selain melaksanakan misi ke sukarelawan dengan membawa nama kerajaan Pahang.