SHAH ALAM - Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan dokumen yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan rakyat dan membina daya tahan mendepani cabaran masa depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RS-1 memberi keutamaan keperluan sosioekonomi rakyat dan akan dilancarkan secara rasmi dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 25 Julai depan.
Menurutnya, di bawah RS-1, kerajaan negeri berhasrat menjadikan Selangor sebuah negeri pintar, berdaya huni dan makmur menjelang 2025 dengan menumpukan empat tema utama iaitu ekonomi, sosial, kelestarian dan urus tadbir yang menjadi prinsip panduan.
"Tema ekonomi bermatlamat untuk mengukuhkan lagi status Selangor sebagai nadi pertumbuhan ekonomi dan destinasi utama pelaburan berkualiti di Malaysia dan rantau Asia dengan mewujudkan peluang pelaburan berimpak tinggi melalui pendekatan mesra pelabur.
"Tema sosial berhasrat menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang ideal untuk diduduki dengan memberikan penekanan kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara seimbang serta terangkum.
"Tema kelestarian menumpukan memelihara dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang manakala tema tadbir urus ke arah transformasi perkhidmatan awam negeri menjadi sebuah organisasi moden, berwawasan dan berpaksikan rakyat dalam memudahcara pembangunan dan perniagaan," katanya pada Sesi Simposium Pra Pelancaran RS1 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA pada Khamis.
Amirudin berkata, pembangunan dokumen RS-1 dilaksanakan secara komprehensif dan terangkum.
"Namun dokumen ini bukan bersifat statik tetapi sebuah 'living document' yang harus mampu menangani cabaran-cabaran baharu yang belum pernah ditempuhi.
"Ia telah melalui pelbagai sesi temubual dan libat urus secara fizikal dan juga maya bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan membabitkan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, sektor swasta, ahli akademik, masyarakat sivil dan juga rakyat," katanya.
Tambahnya, penghasilan dokumen itu melalui empat fasa iaitu kerangka, diagnos kandungan, perincian kandungan serta diakhiri laporan muktamad.
Beliau berharap, Majlis Simposium Prapelancaran RS-1 melibatkan sesi libat urus akhir pada Khamis dapat dimanfaatkan bagi menjadikan dokumen itu komprehensif dan terangkum tanpa ada pihak terpinggir dari arus pembangunan pesat di Selangor.
"Saya amat berharap agar keempat-empat sesi wacana yang akan diadakan selepas ini dapat mengupas dan membincangkan dengan lebih terperinci mengenai tema-tema dalam RS-1 bagi tujuan penambahbaikan," katanya.