PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membatalkan sebarang permit berkaitan industri perikanan terhadap nelayan kapal besar yang terbabit dengan aktiviti penyeludupan pelacur wanita dari Vietnam ke negara ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kementerian memandang serius terhadap dakwaan berlakunya kegiatan penyeludupan pelacur itu dan akan bertindak tegas terhadap pelaku yang terbukti bersalah.
Menurutnya, kementerian juga meminta pihak berkuasa menyiasat dan membuktikan kewujudan kegiatan terbabit serta membawa pelaku ke muka pengadilan.
"Kalau ada bukti jelas, perlu ambil tindakan yang pantas dan hadapkan mereka ini ke mahkamah serta seumpamanya termasuk nelayan, tekong atau pun pemandu serta kru yang bekerja di dalam kapal itu juga akan diambil tindakan.
"Bagi pihak kementerian, kalau kami mendapati ada bot-bot nelayan yang digunakan untuk penyeludupan pelacur, maka kami tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen atau pun apa-apa sahaja permit berkaitan kegunaan bot terbabit dalam industri perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Perasmian Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Daerah Pasir Puteh 2022 di Dewan Terbuka Majlis Daerah Pasir Puteh pada Khamis.
Hadir sama Ketua Jajahan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Ahmad Adlee Yaasin.
Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata, setakat ini, kementerian belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung penglibatan nelayan kapal besar ini dengan kegiatan penyeludupan pelacur seperti didedahkan sebuah akhbar tempatan pada Rabu namun menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi jika jenayah itu benar-benar berlaku.
"Kementerian juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam bertindak tegas terhadap perkara ini yang tidak boleh dibiarkan kerana membabitkan negara, masalah moral dan paling besar masalah agama itu sendiri.
"Kami nak didik rakyat supaya mereka tahu haram dan halal dalam mencari rezeki, ini perlu diberi kesedaran kepada semua dan mereka perlu faham perkara yang seumpama ini adalah salah serta banyak lagi ruang untuk mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata, perkara tersebut memerlukan penyiasatan oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan bukti sebelum sebarang tindakan boleh diambil.
"Kena lakukan penyiasatan, tak boleh tuduh melulu. Kalau betul dan disabitkan kesalahan maka baharu disusuli dengan tindakan tegas daripada pihak kementerian dan agensi-agensi lain,” katanya.
Media pada Rabu mendedahkan kegiatan segelintir bot ikan besar yang dikaitkan dengan kartel perikanan, bukan sahaja terlibat menyeludup diesel bersubsidi untuk dijual secara haram kepada nelayan asing, malah disyaki melakukan aktiviti menyeludup pelacur wanita dari Vietnam ke negara ini.
Sumber yang arif dalam bidang penguatkuasaan maritim mendedahkan modus operandi dipercayai bermula di peringkat pemain industri perikanan besar yang memiliki bot-bot laut.