Malaysia pilihan Turkish Aerospace sebagai pangkalan Asia Pasifik

Iklan
Ismail Sabri (dua, kanan) melawat Turkish Aerospace Industries (TAI), syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turkiye, untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan republik itu dalam bidang teknologi, pada Rabu. - Foto Bernama

ANKARA - Turkish Aerospace Industries (TAI) berharap dapat merealisasikan rancangannya untuk mewujudkan sebuah kilang pengeluaran produk-produk aeroangkasa seperti jet, helikopter dan kenderaan udara tanpa pemandu di Malaysia dalam tempoh setahun dan menjadikannya sebagai pangkalan untuk rantau Asia Pasifik.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TAI, Prof Temel Kotil bagaimanapun berkata, syarikat itu perlu mempunyai perniagaan di Malaysia sebelum dapat memulakan pengeluaran terbabit.

Iklan
Iklan

"Kami perlu menjalinkan beberapa perniagaan di Malaysia (terlebih dahulu) dan ini adalah sesuatu yang biasa. Apabila ke Malaysia bagi tujuan pengeluaran kelak, kami akan bekerjasama bagi mengeluarkan jentera-jentera terbaik dunia,” katanya yang juga bekas CEO Turkish Airlines.

Beliau berkata demikian kepada kumpulan media Malaysia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Turkiye, melawat kemudahan TAI pada Rabu.

Iklan

Mengulas selanjutnya, Kotil berkata, antara produk yang dirancang pengeluarannya di Malaysia adalah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang dikawal secara jarak jauh keluaran tempatan dikenali Anka, pesawat latihan, helikopter Gokbey dan jet tempur ringan Hurjet yang dijangka diperkenalkan pada tahun depan.

Menurutnya, TAI yang telah membuka sebuah pejabat di Cyberjaya akhir tahun lepas, akan turut bekerjasama erat dengan syarikat-syarikat Malaysia untuk membuka kilang terbabit selain menggunakan pengalamannya bagi menyokong industri aeroangkasa Malaysia.

Iklan

"Oleh itu, kami perlu mendapatkan pengalaman dan telah melatih masing-masing seramai 1,000 jurutera serta juruteknik setahun. Kami akan mempunyai kira-kira 100 jurutera di Malaysia menjelang tahun ini dan seramai 20 jurutera Malaysia juga sedang dalam peringkat latihan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, kilang pengeluaran TAI yang terletak di pinggir ibu negara Turkiye, merangkumi kawasan seluas lima juta meter persegi yang turut menempatkan kemudahan perindustrian berkeluasan 150,000 meter persegi.

TAI merupakan firma pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turkiye dengan menumpukan pembangunan produk tulen.

Ia turut menyasarkan untuk muncul sebagai 10 firma terkemuka dunia dalam industri itu menjelang 2028 dengan perolehan hasil sebanyak AS$10 bilion (AS$1=RM4.42).

Firma itu telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Norfolk Southern Corporation Negeri Sembilan yang melibatkan pembangunan NS Aerospace Valley (NSAV) dan lembah kenderaan tanpa pemandu atau UVV di negeri tersebut.

Kerjasama terbabit akan merangkumi pembangunan pembuatan komponen aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih, pembangunan tenaga kerja mahir dan juga pemindahan teknologi.

Sementara itu, Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata, kumpulan pemikir teknologi itu bekerjasama erat dengan TAI bagi usaha pemindahan teknologi Turkiye ke Malaysia.

"Mereka mahu membina sebuah kilang di Malaysia bagi pengeluaran helikopter dan lain-lainnya. Ini sudah pasti dapat memberi manfaat kepada industri aeroangkasa Malaysia selain memberi peluang pekerjaan kepada jurutera serta juruteknik tempatan,” katanya. - Bernama