Empat ahli kongsi gelap edar dadah diberkas

Iklan
Azmi menunjukkan pistol yang dirampas daripada ahli sindiket pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang didalangi ahli kumpulan kongsi gelap 36 dan 24, susulan tangkapan empat lelaki di sekitar Lembah Klang pada Selasa dan Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis ganja, syabu, pil ekstasi dan heroin base yang dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan pertama, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di kawasan parkir sebuah kondominium dan 3,000 biji pil ekstasi dan wang tunai RM500 dirampas.

"Hasil soal siasat, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di kawasan parkir di sebuah kompleks beli belah di Dutamas, kita turut merampas 10.14 kilogram (kg) dadah jenis heroin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Iklan

Azmi berkata, dalam serbuan terakhir, polis memberkas dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun di sebuah unit kondominium di Ampang.

"Kita merampas 142.02 kg ganja, 15.12 kg syabu dan heroin base seberat 785 gram serta sepucuk pistol revolver bersama sembilan butir peluru hidup," katanya.

Iklan

Beliau berkata, sindiket yang aktif sejak lima bulan lalu menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai lokasi penyimpanan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Semakan lanjut mendapati tiga daripada empat suspek itu memiliki rekod jenayah. Mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Azmi berkata, senario pengedaran dadah dilihat membimbangkan apabila Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bersama rampasan senjata api.

"Sejak awal tahun sehingga hari ini, sebanyak lima laras senjata api pelbagai jenis telah dirampas," katanya.