GEORGETOWN - Beberapa rumah kebajikan seperti rumah orang kurang upaya (OKU), anak yatim dan pusat jagaan warga emas di Bayan Lepas dan Gelugor di sini kelam kabut selepas terputus bekalan air sejak petang Rabu.
Pengarah Pertubuhan Kebajikan Orang Agape Pulau Pinang, M Sharon berkata, kehidupan penghuni beberapa premis tersebut menghadapi kesukaran dalam menjalani urusan harian kerana tiada bekalan air.
"Sehingga jam 1 petang tadi (Khamis) air belum ada di beberapa kawasan Gelugor dan Bayan Lepas.
"Selain itu, masalah utama yang dihadapi oleh kira-kira 14 penghuni OKU serta enam petugas di Rumah Kebajikan Agape di Island Glades di sini adalah kekurangan bekalan air untuk diminum," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Tambahnya, lebih mengecewakan, pihak berkuasa langsung tidak memberi notis atau amaran berhubung perkara tersebut menyebabkan tiada persediaan dibuat.
''Bekalan air tiada sejak jam 4 petang semalam tanpa sebarang notis menyebabkan kami tidak sempat menyimpan air untuk kegunaan penghuni. Ini amat menyusahkan.
"Selain itu, bekalan air untuk diminum juga tiada kerana semua kedai berhampiran telah kehabisan stok air mineral susulan pembelian panik sejak semalam," katanya.
Dia berkata lagi, beberapa pihak telah menghulurkan bantuan dengan menyerahkan stok bekalan air mentah untuk kegunaan sementara para penghuni.
"Saya telah meminta bantuan daripada beberapa pihak dan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan. Bekalan air untuk kegunaan harian, saya berjaya dapatkan kira-kira jam 10 malam semalam dan kami peroleh bantuan air mineral daripada Persatuan Hindu Pulau Pinang.
"Bagaimanapun bekalan air mineral telah habis untuk kegunaan penghuni dan kami berharap ada pihak yang dapat membantu kami," katanya.
Dalam pada itu, pengurus Rumah Kebajikan Seri Cahaya di Permatang Damar Laut, V Girithren berkata, bekalan air di kawasan tersebut masih tiada setakat ini dan bekalan air mineral juga turut terjejas di situ.
"Kami berharap masalah bekalan air akan segera pulih kerana kami sukar untuk mendapatkan bekalan air minuman pada masa ini. Semua bekalan air mineral di kedai telah habis dijual selepas semua orang berpusu-pusu membelinya semalam," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, pada jam 6 pagi Rabu, kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU).
Katanya, ia adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi yang mana kekeruhan normal kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.
Tambahnya, PBAPP menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh Pulau Pinang akan dipulihkan pada jam 12 tengah hari pada Khamis.