KUANTAN - Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan isteri ketua kampung Felda Mengkuang, Bera, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan pada Khamis.
Iklan
Iklan
Menurutnya, susulan penahanan suspek, polis berjaya menemui kereta jenis Honda City dipercayai milik suami mangsa yang dilarikan suspek dalam kejadian itu.
"Semua suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 52 tahun ditemui maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di tanah rancangan Felda Mengkuang, Bera Selasa lalu.
Suami mangsa ditemui tidak sedarkan diri akibat kecederaan di bahagian kepala dipercayai dipukul.
Dalam kejadian itu, suspek telah melarikan wang tunai kira-kira RM6,000 bersama kereta jenis Honda City milik suami mangsa.