PKR sebulat suara terima keputusan rasmi pemilihan

Iklan
Fahmi Fadzil

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebulat suara menerima keputusan rasmi Pemilihan PKR 2022 yang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, MPP telah diberi penjelasan penuh oleh firma audit forensik berkenaan kelemahan yang berlaku pada sistem di aplikasi Adil.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan perbincangan dan pembentangan penuh malam tadi, MPP mengambil maklum bahawa sistem Adil yang dibangunkan adalah suatu sistem dengan integriti yang utuh.

"Walaupun begitu, firma audit forensik memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem tersebut. MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut telah diambil.

Iklan

"MPP turut diberi taklimat penuh oleh firma audit forensik berhubung dapatan audit lengkap bagi Pemilihan 2022,” katanya dalam kenyataan pada Khamis selepas satu mesyuarat khas MPP diadakan pada Rabu.

Pada masa yang sama, menurut Fahmi, MPP mengambil maklum berkenaan sebahagian daripada 1,800 aduan yang diterima masih dalam penelitian JPP.

Iklan

"MPP menerima jaminan bahawa JPP akan menyelesaikan aduan dan memberikan maklum balas bertulis kepada semua yang mengemukakan aduan.

MPP turut menerima penjelasan bahawa bagi kategori aduan yang terkait isu disiplin, hal tersebut akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin,” ujarnya.

Selain itu, MPP memutuskan Kongres PKR ke-16 yang melibatkan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta Kongres Nasional akan diteruskan pada 15, 16 dan 17 Julai di IDEAL Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

"Kesemua perwakilan termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir secara fizikal. Kongres ini akan menyaksikan saf kepimpinan baharu mengambil alih tampuk kepimpinan parti, seterusnya menggariskan dasar serta hala tuju parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15,” ujarnya.

Sebelum ini, tarikh asal bagi Kongres Wanita dan AMK pada 24 Jun serta Kongres Nasional pada 25 dan 26 Jun.

Ia telah diubah untuk memberi ruang dan masa yang secukupnya kepada JPP dan firma audit forensik untuk menyelesaikan aduan-aduan yang diterima dan tidak sama sekali bertujuan melengahkan pengumuman keputusan Pemilihan PKR.