Porsche 911 hilang kawalan punca kemalangan maut

Iklan
Porsche 911 yang terbabas ke laluan bertentangan dipercayai punca kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Loke Yew, awal pagi Khamis.

KUALA LUMPUR - Sebuah kenderaan mewah jenis Porsche 911 Carrera 4S yang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan yang mengorbankan seorang pemandu di Jalan Loke Yew berhampiran Flat Sri Sabah di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohammad Idzam Jaafar berkata, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 disahkan maut di tempat kejadian, manakala empat individu termasuk pemandu dan penumpang Porsche terbabit cedera parah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penunggang dan pembonceng sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang terlibat dalam kemalangan jam 2.10 pagi itu turut mengalami kecederaan parah.

"Siasatan awal mendapati kenderaan Porsche 911 yang dipandu dari arah pusat bandar menghala Bulatan Cheras tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan serta melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.

Iklan

"Porsche 911 itu berpusing memasuki laluan bertentangan serta melanggar Proton X70 dan motosikal Honda EX5 yang datang dari arah Bulatan Cheras menghala ke pusat bandar," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang maut manakala empat lagi cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan.

Iklan

Pusat Gerakan Bomba (PGO) Kuala Lumpur dilaporkan berkata, mangsa yang menaiki Porsche 911 adalah seorang lelaki dan wanita warga asing manakala penunggang dan pembonceng motosikal merupakan warga tempatan kesemuanya berusia lingkungan 30-an.

Mengulas lanjut, Mohammad Idzam berkata, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhkriz (HCTM) di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, kemalangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai berhampiran," katanya.