LRA Sungai Dua pulih sepenuhnya hari ini

Iklan
Kon Yeow (kanan) melawat Loji Rawatan Air Sungai Dua yang terpaksa ditutup buat sementara waktu berikutan kekeruhan air mentah yang masuk dari Sungai Muda yang luar biasa tinggi. - Foto Bernama

BUTTERWORTH - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjangkakan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini dapat menghasilkan air terawat dengan kapasiti penuh untuk disalurkan kepada pengguna menjelang 6 petang, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, ketika ini kapasiti pengeluaran air terawat di LRA Sungai Dua telah mencapai 61 peratus dengan 48 peratus daripada 660,000 pemegang akaun terjejas dengan bekalan air sejak semalam telah menerima bekalan air.

Iklan
Iklan

"LRA Sungai Dua merupakan loji rawatan air terbesar dan terpenting di Pulau Pinang iaitu membabitkan 80 peratus pemegang akaun PBAPP di Pulau Pinang dan kami akan terus meningkatkan pengeluaran di situ (LRA Sungai Dua) untuk mencapai tahap optimum 100 peratus atau purata 988 MLD ( juta liter sehari) secepat mungkin.

"PBAPP menyasarkan untuk mencapai objektif ini menjelang pukul 6 petang hari ini dan seterusnya dapat menyalurkan bekalan air kepada pengguna yang masih mengalami gangguan sejak semalam secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas lawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP mengadakan lawatan di LRA Sungai Dua bagi melihat operasi loji itu selepas ia dihentikan selama empat jam berikutan kadar kekeruhan air mentah (NTU) yang tinggi akibat kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah Isnin lepas.

LRA itu dihentikan operasi bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan keadaan tersebut menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami gangguan serta terjejas bekalan air.

Jaseni berkata, berlaku sedikit kelewatan dalam memulihkan bekalan di LRA Sungai Dua kerana isu kekeruhan air mentah di muka sauk air mentah LRA dan pihaknya merekodkan sehingga 3,700 NTU semalam.

Iklan

"LRA Sungai Dua mula menjalankan operasi air terawat selepas NTU semakin menurun dan sekarang ini direkodkan 700 hingga 800 NTU, kami harap tidak berlaku hujan lebat di kawasan berhampiran Sungai Muda kerana jika ia berlaku akan meningkatkan NTU berikutan kekeruhan disebabkan selut serta pasir," katanya.

NTU merujuk kepada"Unit Kekeruhan Nephelometric” atau"Nephelometric Turbidity Unit”, unit yang digunakan untuk mengukur kehadiran zarah atau jirim terampai dalam air.

Jaseni berkata, PBAPP akan terus memantau kekeruhan air yang diabstrak dari Sungai Muda, Kedah dan akan terus melepaskan air dari Empangan Mengkuang untuk memastikan tahap kekeruhan air mentah yang selamat untuk LRA Sungai Dua.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kecaman orang ramai atas tindakan PBAPP lambat memaklumkan masalah gangguan dan bekalan air di Pulau Pinang, Jaseni berkata, kejadian tersebut sama sekali tidak dijangka.

Beliau berkata, memandangkan LPA Sungai Dua merupakan LPA terbesar dan terpenting di negeri ini, mereka tidak boleh mengambil keputusan tergesa-gesa sebelum membuat pemeriksaan lanjut serta perbincangan secara teliti terlebih dahulu.

"Kami perlu membuat keputusan berdasarkan fakta dan apabila kami melihat kekeruhan yang luar biasa tinggi, kami memutuskan untuk menutupnya buat sementara waktu (empat jam), ketika itu kami menggunakan air dari Empangan Mengkuang.

"Apabila kekeruhan air mentah yang memasuki LPA Sungai Dua mencapai tahap yang boleh diterima tengah hari semalam, kami memulakan semula pengeluaran air di LPA Sungai Dua secara berperingkat dan seterusnya menyalurkan kepada pengguna," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Isnin, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selain tujuh rumah musnah dihanyutkan air serta kira-kira 70 rumah rosak akibat kejadian itu. - Bernama