SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan (Mindef) diharap dapat segera meluluskan cadangan untuk mewujudkan Jawatankuasa Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan tentera (Rafoc), Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata, jawatankuasa tersebut adalah bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku diiktiraf sebagai Veteran ATM.
Dalam masa sama, katanya, Rafoc turut menantikan keputusan Mindef dan kerajaan berhubung isu merapatkan jurang pencen veteran yang bersama sebelum 2013.
"Para veteran sangat mengharapkan dan menunggu keputusan penting Kementerian Pertahanan dan Kerajaan berhubung isu merapatkan jurang pencen veteran yang bersara sebelum 2013,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Selain itu, menurut beliau, Rafoc menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung pembayaran Pencen Terbitan kepada balu veteran.
"Pengumuman tersebut dilihat sebagai bukti komitmen dan keprihatinan beliau terhadap isu-isu melibatkan veteran dan ahli keluarga mereka.
"Saya berharap isteri kepada veteran yang terlibat menerima kenyataan tersebut sebagai suatu rahmat yang akan menjadi jaring keselamatan pada masa hadapan buat mereka sekeluarga.
"Rafoc yakin keputusan ini bukan merupakan pengumuman yang terakhir dan yakin ia sebagai permulaan yang baik,” jelasnya.