BOUSTEAD Holdings Bhd dan Great East Capital (GEC) Turkiye menjalin kerjasama untuk menubuhkan perbankan digital Islam yang pertama di republik itu bagi meneroka potensi besar Turkiye yang mempunyai kira-kira 85 juta penduduk.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Izaddeen Daud berkata, syarikat itu bercadang untuk membuat pelaburan strategik menerusi usaha niaga itu.
Menurutnya, ketika ini GEC dalam proses untuk memohon lesen bank digital daripada pihak berkuasa Turki yang berkaitan.
"Dengan pengalaman dan kepakaran Boustead melalui Affin Islamic Bank, Boustead berharap dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan Malaysia ke Eropah, malah ke seluruh dunia.
"Perkongsian kami dengan GEC akan menjadi batu loncatan untuk kami menembusi pasaran luas Eropah," katanya kepada pemberita selepas majlis bertukar Dokumen Persefahaman di antara kedua-dua syarikat untuk menjalankan usaha niaga itu di sini pada Selasa.
Ia disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berada di sini bersempena lawatan rasmi empat hari ke Turkiye.
Umut Tekin yang mewakili GEC berkata, syarikat memulakan perjalanan baharu untuk menubuhkan perbankan digital Islam yang pertama di Turkiye dan berharap untuk merealisasikannya menjelang suku pertama 2023.
"Memandangkan Malaysia diiktiraf antara satu daripada ekosistem kewangan Islam termaju dunia, selain pengalaman dan kepakaran Boustead, kami akan mendapat pengalaman terbaik di Malaysia dan mengamalkannya di sini," katanya.
Menurut Umut, bagi pelan jangka panjang, syarikat bercadang untuk menubuhkan bank digital seinduk di Malaysia yang berkongsi teknologi, pelanggan, alat kewangan dan pengetahuan melibatkan kedua-dua negara.
Menurut laporan media, bank-bank digital di seluruh dunia telah mencapai nilai sebanyak berbilion dalam tempoh kurang daripada tujuh tahun. -Bernama