Exco Perak 'terjah' sekolah pantau harga, kualiti makanan

Iklan
Ahmad Saidi (tengah) ketika ditemui dalam Program Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin pada Khamis.

IPOH - Pemeriksaan mengejut di beberapa sekolah antara inisiatif digerakkan kerajaan Perak bagi memastikan tiada makanan dijual pada harga keterlaluan hingga mengakibatkan pelajar mengikat perut.

Ahmad Saidi

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pendekatan dilaksanakan sejak April itu juga bertujuan memantau kualiti makanan disediakan agar berada pada tahap memuaskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 15 sekolah menengah dan rendah serta pendidikan khas di empat daerah telahpun dilakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan mengejut ini kita tidak maklumkan kepada pihak sekolah, yang tahu hanya pejabat Exco dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sahaja, itupun kita tidak maklumkan mereka sekolah mana yang mahu pergi.

Iklan

"Dengan cara ini, saya sendiri dapat makan bersama pelajar sewaktu rehat dan merasai apa yang mereka makan kerana saya mahu tahu kualiti makanan yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan alatan pemulihan Program Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin kepada orang berinsurans, Hasliza Abdul Karim di Persiaran Klebang Selatan 8, Taman Bertuah di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Cawangan Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pejabat Perkeso Perak, Adibah Mohamed Amin.

Ahmad Saidi berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan tahap penyediaan makanan apabila didapati semua pengusaha kantin sekolah patuh kepada piawaian ditetapkan.

Katanya, pemantauan sama akan diteruskan dan pihaknya bercadang mendapatkan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk turut serta dalam pemeriksaan itu.

"Selain membabitkan isu harga dan kualiti makanan, tumpuan kita juga adalah bagi mengelak berlaku kes keracunan makanan seperti sebelum ini.

"Saya sudahpun bincangkan perkara ini dengan Exco Kesihatan sebab JKN ada prosedur operasi standard (SOP) sendiri dan sekiranya berlaku perkara tidak sepatutnya, tindakan serta-merta boleh diambil terhadap pengusaha kantin seperti beku atau diberhentikan," katanya.