'Harap kerajaan bantu, datang setiap rumah lihat kerugian'

Iklan
Penduduk Kampung Hangus sedang melihat barangan yang dipenuhi lumpur selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada Isnin lepas di daerah ini. - Foto Bernama
BALING - Tiga penduduk di Kampung Hangus di sini, mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit apabila barangan rumah serta kenderaan mereka rosak teruk dalam kejadian banjir dan kepala air yang berlaku pada Isnin lepas di daerah ini.

Tinjauan Bernama di kampung itu pada Khamis mendapati pekarangan rumah penduduk dipenuhi lumpur tebal selain kelihatan kesan ditenggelami air pada kereta yang diletakkan di kawasan kediaman masing-masing.

Mereka juga dilihat sibuk mengemas dan mencuci rumah masing-masing dengan dibantu sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan serta agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Seorang penduduk, Umi Munah Mat Rejab, 70, berkata, kesemua perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak akibat banjir, selain sebuah kereta Perodua Myvi dan empat motosikal turut ditenggelami air.

Anak perempuannya, Siti Hasnah Aziz, 38, berkata, kerugian yang dialami keluarganya dalam bencana itu dianggarkan mencecah RM200,000 memandangkan rumah mereka baru selesai diubah suai pada Mei lepas.

"Habis semua barang dalam rumah seperti peti sejuk, katil serta tilam rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Saya berharap kerajaan dapat bantu dengan datang ke setiap rumah mangsa banjir dan tengok kerugian dialami," katanya.

Siti Hasnah juga berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk NGO, orang perseorangan dan agensi kerajaan yang membantu mencuci rumah ibunya sekali gus meringankan beban mereka dalam menghadapi musibah itu.

Seorang lagi penduduk, Azizah Ahmad, 69, berkata, dia turut mengalami kerugian kira-kira RM200,000 selepas rumah serta dua keretanya iaitu Perodua Viva dan Alza ditenggelami air.

"Habis semua barangan dalam rumah rosak, tak ada apa yang tinggal. Selut (lumpur) pun banyak, nasib baik ada sukarelawan dan orang kampung datang bantu cuci rumah," katanya.

Mohd Suzairee Shaharin, 39, pula berkata selain rumah, dua kereta Wira dan empat motosikalnya rosak dalam kejadian banjir tersebut menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM150,000.

Selain itu, katanya kelengkapan persekolahan anak lelakinya berumur lapan tahun serta anak saudara perempuannya berusia 15 tahun turut musnah dihanyutkan banjir dan perlu dibeli baharu.

"Kami juga berhadapan kekangan untuk mencuci rumah sebab selut yang tebal dan ketiadaan peralatan lengkap untuk mencuci rumah. Kami terpaksa mengharapkan bantuan orang lain seperti kawan-kawan dan sukarelawan untuk bantu cuci rumah kami," katanya.

Penduduk Kampung Hangus, Hashim Yunus, 85, sedang melihat barangan dan pakaian dipenuhi lumpur selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada Isnin lepas di daerah ini. - Foto Bernama
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Dalam kejadian banjir itu, sebanyak 12 kampung terjejas dengan 15 rumah rosak teruk sehingga tidak boleh didiami lagi, selain meragut nyawa tiga sekeluarga. - Bernama.