PERTAHANAN Denmark, Andreas Christensen menyifatkan menandatangani kontrak dengan kelab La Liga Sepanyol itu ibarat mimpi menjadi kenyataan.
"Saya membesar dengan menonton Barcelona, dan Ronaldinho serta Deco adalah pemain kegemaran saya.
"Saya sangat gembira dan menunggu lama untuk hari ini tiba, kini saya sangat teruja untuk bermula.
"Memang saya mempunyai pilihan lain dan pasukan yang bagus menunjukkan minat menandatangani saya, tetapi apabila anda mempunyai impian anda tidak teragak-agak. Impian boleh menjadi kenyataan,” kata Christensen yang menandatangani kontrak sehingga Jun 2026 bersama The Catalant.
Pemain tengah berusia 26 tahun itu meninggalkan Chelsea pada akhir kontraknya pada Jun untuk menyertai Barcelona secara percuma dengan klausa pembelian ditetapkan pada 500 juta euro.
Christensen, yang memiliki 56 caps untuk Denmark, membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara pada musim 2020-21 serta Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA pada 2021.
"Saya sangat berbangga dengan empat tahun bersama Chelsea, saya telah memenangi beberapa trofi yang sangat istimewa di sana. Saya bekerja keras setiap hari cuba mencipta sejarah sendiri,” kata Christensen.
Pada masa sama Christensen juga menegaskan berbincang dengan penyerang Barca dari Denmark, Martin Braithwaite dan bekas rakan sepasukan di Chelsea, Marcos Alonso dan Cesar Azpilicueta ketika sedang merundingkan kontraknya.
"Apabila saya membincangkan kemungkinan ini dengan mereka, semua komen adalah positif.
"Mereka bercakap dengan baik kepada saya tentang kelab, bandar dan budaya Sepanyol. Saya mahu menjadi sebahagian daripada semua ini,” katanya.
Christensen berkata, budaya menang dan gaya bermain menyerang Barca membuatkan dia menyokong kelab itu.
"Barca menarik saya kerana cara mereka bermain. Saya masih ingat, khususnya, Ronaldinho. Cara dia bermain...saya mahu menjadi penyerang seperti dia.
"Sebagai pemain, kami semua mahu menang, itulah matlamat utama. Saya rasa pasukan dan kelab mempunyai potensi ini. Ini tidak pernah berubah dalam sejarah Barca,” kata Christensen.