SHAH ALAM – Kerajaan digesa untuk menetapkan paras keuntungan yang boleh diambil oleh penternak ayam dan bukannya menetapkan harga runcit di pasaran.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Md Rais berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu segera melakukan analisis menyeluruh terhadap rantaian pembekalan dan juga kepada rantaian keuntungan perkhidmatan industri bekalan ayam negara.
"Pihak kementerian perlu meneliti dasar-dasar yang dapat meningkatkan penawaran ayam, sebagai contoh, kerajaan boleh memberi insentif kepada penjual makanan ayam supaya merendahkan kos bagi membela ayam.
Menurutnya, jika penawaran melebihi permintaan, rakyat dapat menikmati harga ayam yang rendah.
"Fokus utama adalah untuk mencari di manakah sebenarnya punca kenaikan harga tersebut itu berlaku.
"Kerajaan juga setakat hari ini tidak dapat memberikan satu maklumat yang tepat kepada rakyat mengapa kenaikan harga ayam ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan MAFI perlu bersama-sama dalam usaha memastikan bekalan serta harga produk pertanian stabil bagi mengekang kenaikan harga.
"Apa yang membimbangkan adalah krisis makanan melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, jagung, bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan yang menjadi keperluan asas setiap isi rumah,” katanya.
Tambahnya lagi, menteri bertanggungjawab harus mewujudkan dasar pertanian baharu bagi memberi peluang dan galakan kepada rakyat miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani selain memberikan bantuan secara percuma melalui subsidi atau kawasan khas yang membolehkan mereka untuk bertani.
Dalam jangka masa yang panjang katanya, negara memerlukan simpanan dan bekalan makanan yang mencukupi bagi memastikan rakyat tidak mengalami masalah kekurangan makanan yang boleh menyebabkan peningkatan harga barang, peningkatan kadar jenayah akibat kekurangan sumber makanan dan kadar inflasi yang tinggi.