PENYERANG berbisa Liverpool, Mohamed Salah digesa membantu The Reds membentuk lebih ramai pemain yang mampu mengisi posisinya setelah dia meninggalkan Anfield.
Bekas penyerang Liverpool, Stan Collymore berkata, Salah perlu mengambil tanggungjawab itu sebagai pemain senior selepas melanjutkan kontraknya selama tiga tahun baru-baru ini.
Malah, Collymore memberitahu, Salah harus menjadi mentor kepada muka baharu, Fabio Carvalho yang dianggap aset masa depan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Salah memiliki keupayaan kerana dia ada masa yang agak panjang bersama Liverpool. Jadi dia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam kelab itu mulai sekarang.
"Ini bermakna Salah perlu membantu pemain muda meningkat dan berkembang, secara tidak langsung juga boleh membantu melahirkan penggantinya pada masa depan.
"Liverpool mempunyai peluang besar mengembangkan pembelian baharu mereka sebagai pengganti Salah tetapi agak sukar menggantikan penyerang hebat seperti Salah,” katanya.
Pada Mei lalu, Liverpool berjaya melengkapkan perpindahan Carvalho selepas gagal dalam usaha membawa penyerang Fulham berusia 19 tahun itu ke Anfield awal tahun ini.
Carvalho memainkan peranan penting ‘menaikkan’ Fulham kembali ke pentas EPL apabila menjaringkan 10 gol dalam 36 perlawanan ketika skuad kendalian Marco Silva memenangi Liga Kejuaraan musim lalu.