KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot pukat tunda di perairan Sungai Perepat di sini pada Jumaat.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten V Siva Kumar berkata, bot berkenaan dikesan kira-kira jam 1.30 pagi ketika rondaan dijalankan sepasukan anggota Maritim Malaysia dalam operasi Ops Ehsan di perairan negeri ini.
"Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan berumur antara 17 hingga 36 tahun di zon larangan perikanan.
"Bot berkenaan dikesan sedang menjalankan aktiviti menunda (tarik tepi) di lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 10 kilogram dan telah diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah lima batu nautika dari pantai," katanya.
Menurutnya, sebelum ini telah menerima beberapa aduan daripada nelayan tempatan berkaitan kegiatan tarik tepi oleh bot nelayan tempatan Kelas B.
"Aktiviti sebegini mengancam ekosistem kawasan perikanan nelayan pantai.
"Kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan sepintas lalu sementara bot tersebut ingin melepasi jarak 10 batu nautika daripada pantai," katanya.