Zurich Malaysia, OKU Sentral perkasakan usahawan OKU

Iklan
Ras Adiba (kiri) bersama Nazrul Hisham (kanan) menyaksikan Ahmad Daniel (dua dari kiri) dan Mohd Redzuan (dua dari kanan) menandatangani MoU pada majlis itu yang diadakan pada Khamis.

ZURICH Malaysia menerusi agensi Rangkaian Francais Zurich Teras Legacy (Teras Legacy) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan OKU Sentral (OKU Sentral) untuk menyokong pemerkasaan Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui pembangunan keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful, Nazrul Hisham Abd Hamid berkata, kerjasama itu dibawah bawah program Sinar Senyuman Al-Shams yang akan memudahkan akses perlindungan kewangan takaful kepada OKU.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program pertama seumpamanya di negara itu membuka jalan kepada mereka untuk mempunyai kerjaya yang berjaya dalam perkhidmatan kewangan takaful.

"Zurich Malaysia dan Teras Legacy akan membimbing dan melengkapkan OKU dengan kemahiran yang diperlukan dan OKU Sentral menyokong program ini dengan menyediakan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam melatih OKU.

Iklan

Kami berusaha untuk memberi impak positif yang berkekalan dalam komuniti, termasuk OKU yang merupakan ahli masyarakat yang sama penting.

"Kami ingin menyokong usaha mereka untuk berdikari dan mendapatkan perlindungan. Program Sinar Senyuman Al-Shams ini membantu OKU menjalani kehidupan yang bermakna dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Majlis menandatangani MoU antara Zurich Malaysia bersama OKU Sentral telah diadakan di Kuala Lumpur pada Khamis.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Penasihat Teras Legacy, Mohd Zaidi Mohd Adnan, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wan Fadlina Wan Husain, Timbalan Presiden Persatuan OKU Sentral, Ahmad Daniel Sharani, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman dan Ketua Pegawai Eksekutif Teras Legacy, Mohd Redzuan Jaafar serta Ketua Pegawai Agensi Zurich Takaful, Nazrul Namizan.

Dari kiri: Ras Adiba Radzi, Mohd Zaidi, Wan Fadlina, Ahmad Daniel, Megat D. Shahriman, Nazrul Hisham, Mohd Redzuan dan Nazrul bergambar bersama pada majlis itu.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan sumber untuk membantu OKU yang berminat melakarkan kerjaya dalam perkhidmatan kewangan takaful.

"Inisiatif ini selaras dengan kepercayaan kami bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat perlindungan dan masa depan yang lebih cerah. Teras utama program ini ialah memperkasa OKU untuk menerokai kerjaya yang mungkin tidak difikirkan sebelum ini.

"Sinar Senyuman Al-Shams juga menjamin penerimaan permohonan OKU berdaftar ke dalam pelan perlindungan Zurich Takaful Al-Shams, termasuklah mereka yang mempunyai penyakit kritikal yang sedia ada, penyakit kongenital atau tidak layak untuk menerima perlindungan daripada sumber lain,” katanya.

Sementara itu, Ras Adiba berkata, ketahanan sosio-ekonomi adalah salah satu tema utama bagi Malaysia.

"Ini memerlukan pembangunan perlindungan sosial yang lebih baik, terutamanya untuk kumpulan masyarakat yang terjejas.

"Kaji selidik menunjukkan bahawa OKU berisiko menjadi miskin kerana kekurangan peluang penyertaan sosial serta ekonomi.

Pada realitinya, OKU terpaksa menghadapi cabaran yang lebih untuk mendapatkan perlindungan dan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, untuk berjaya, kita mesti memfokuskan perkara selain perlindungan.

"Kita mesti mempergiatkan usaha untuk melibatkan OKU dalam bidang ekonomi.

Sebagai wakil OKU di Dewan Negara, saya menghargai penyertaan Zurich Malaysia dan Teras Legacy dalam menyokong OKU untuk pembangunan yang lebih inklusif,” katanya.

Terdapat lebih daripada 580,000 OKU berdaftar di Malaysia dan ramai yang menghadapi cabaran dalam mendapatkan peluang pekerjaan kerana polisi dan amalan yang terhad serta mereka mengalami kesukaran untuk mendapatkan perlindungan.

Kadar penembusan takaful di negara ini juga rendah, iaitu 18.6 peratus pada tahun 2021.

Kajian Impak Pandemik terhadap Perlindungan oleh Zurich Malaysia menunjukkan bahawa 84 peratus rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang lebih tinggi tentang keperluan mempunyai perlindungan, namun 38 peratus daripada jumlah responden masih tidak mempunyai perlindungan insurans atau takaful.

Zurich Malaysia telah melancarkan Takaful Al-Shams dengan Penerimaan Terjamin pada April lalu untuk menjadikan perlindungan lebih senang diakses dan lebih mudah untuk semua rakyat Malaysia.

Pelan ini adalah fleksibel dan boleh dikembangkan selaras dengan perubahan hidup pelanggan, seperti perkahwinan dan menimang cahaya mata.