KOTA BHARU - Berbaki dua hari lagi sebelum umat Islam menyambut Aidiladha, sebuah keluarga dikejutkan dengan kematian lembu peliharaannya yang akan dikorbankan pada Ahad ini.
Pemiliknya, Haffis Abdul Rahman, 39, berkata, lembu yang bernilai RM4,500 itu dikatakan mengalami kembung perut akibat termakan daun getah.
"Perasaan sedih itu ada, sebab duit bayaran bagi setiap bahagian yang berharga RM600 sudah diterima daripada mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban.
"Susulan itu, saya terpaksa menggantikan lembu baharu dan harga terpaksa dinaikkan ke RM750 setiap bahagian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, sebelum itu usaha menyelamatkan lembu tersebut sudah dilakukan namun menemui jalan buntu.
Bagaimanapun katanya, dia reda dengan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai ujian buat mereka sekeluarga.
Dalam pada itu, Haffis berkata, dia turut terkejut dengan kematian haiwan ternakan memandangkan anak-anaknya turut terlibat dalam menjaga lembu tersebut.
"Kami sekeluarga bela lembu ini sejak haiwan berkenaan masih kecil.
"Jadi kematian haiwan ini amat dirasai oleh anak-anak terutamanya," katanya.
Sebelum itu video kematian lembu itu tular di aplikasi TikTok dan ditonton oleh lebih 300,000 pengguna pada Jumaat.