Tiada wabak penyakit pada hari pertama haji

Iklan
Tiada laporan tentang wabak penyakit dilaporkan pada hari pertama haji di Makkah. - Foto AFP


MAKKAH - Emir Makkah, Putera Khaled Al-Faisal berkata, bahawa tiada wabak penyakit dilaporkan dalam kalangan jemaah haji pada Hari Tarwiyah yang jatuh pada Khamis iaitu hari pertama haji.

"Saya bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa di atas kebaikan tetamu-Nya yang telah berkumpul di Tapak Suci untuk menghabiskan Hari Tarwiyah tanpa merekodkan sebarang kemalangan atau wabak penyakit,” katanya dalam sidang akhbar seperti dlaporkan Saudi Gazette pada Khamis.

Putera Khaled yang juga pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat tiba di Mina untuk meninjau operasi haji Arab Saudi dan mengkaji semula perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji pada tahun ini.

Timbalan Emir Makkah, Putera Badr bin Sultan dan beberapa pegawai kanan tentera dan awam turut hadir bersamanya.

Putera Khaled Al-Faisal merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemerintah Arab Saudi dan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota, Putera Mohammed Bin Salman atas keupayaan material serta kakitangan yang disediakan untuk melayani para jemaah menunaikan ibadah mereka dengan mudah dan tenang.

Walaupun wabak koronavirus berlaku dalam tempoh dua tahun lalu, umat Islam dibenarkan menunaikan haji tetapi dalam jumlah yang terhad mengikut langkah berjaga-jaga yang tinggi.

Katanya, pada tahun ini Arab Saudi kembali meningkatkan jumlah jemaah haji kepada sejuta umat Islam di tengah-tengah sistem perkhidmatan bersepadu yang bertujuan untuk memudahkan ibadah haji dan menjaga keselamatan mereka. - Agensi