SKUAD Kedah tetap merendah diri walaupun muncul pasukan berada di tangga teratas liga dalam saingan Piala Tun Sharifah Rodziah yang menggunakan format liga sepusingan dan empat pasukan teratas layak ke separuh akhir.
Memasuki aksi separuh akhir hari ini, finalis edisi lepas, Kedah bakal bertemu Selangor manakala satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan pertemuan Melaka dengan Sabah.
Jurulatih Kedah, Mohamad Zulkifli Jaafar berkata, walaupun pemainnya menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencatat enam kemenangan dan hanya satu seri menentang Melaka pada saingan liga sebelum ini, itu bukanlah jaminan setelah saingan memasuki peringkat separuh akhir.
"Berdepan Selangor bukanlah tugas mudah kerana saya pasti kedua-dua pasukan inginkan kemenangan dan mara ke perlawanan akhir.
"Mungkin kami mempunyai sedikit kelebihan dengan kehadiran empat pemain dari pasukan kebangsaan tetapi pasukan lain seperti Melaka dan Sabah juga mempunyai lebih ramai pemain yang mewakili pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media pra-perlawanan separuh akhir kejohanan itu di Wisma FAM semalam.
Sementara itu, jurulatih Selangor Zainal Nordin lebih selesa pasukannya dilabel sebagai ‘underdog’ dan beliau mempunyai strategi tersendiri bagi menghadapi Kedah.
"Kebanyakan pemain saya masih muda dan kurang berpengalaman tetapi itu bukan alasan untuk kami menyerah kalah dengan mudah.
"Rehat selama dua minggu sebelum ini kami gunakan sebaiknya untuk memperbaiki kekurangan pasukan namun latihan kami agak terganggu dengan keadaan cuaca tidak menentu. Walau apa pun kami akan berusaha memberi saingan kepada Kedah,” katanya.
Perlawanan separuh akhir antara Kedah dan Selangor akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada 9 pagi ini, manakala aksi antara Melaka dan Sabah di Stadium MMU Cyberjaya pada waktu yang sama. - Bernama