Ibu bapa desak KPM buka segera SJKT Gunung Rapat

Iklan
Kar Hing menunjukkan jawapan bertulis KPM di Parlimen mengenai isu SJKT Gunung Rapat pada Jumaat.

IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa segera menyelesaikan sebarang isu yang menghalang pembukaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat untuk beroperasi.

Wakil ibu bapa, N Peru berkata, perjuangan untuk mendapatkan bangunan baharu itu dimulakan sejak tahun 2007 lagi dan kini bangunan tersebut sudah pun siap tetapi masih tidak boleh digunakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bangunan sekolah sedia ada sudah tidak kondusif untuk digunakan oleh pelajar kerana keadaan bangunan yang uzur selain ruang yang sempit.

"Bayangkan ketika kami perjuangkan sekolah ini, anak saya berusia 10 tahun. Sekarang dia sudah pun habis sekolah, namun masih ada lagi yang tak siap untuk bangunan ini boleh beroperasi.

Iklan

"Mungkin kena tunggu sampai saya ada cucu, baru boleh guna sekolah ini. Kementerian Pendidikan dilihat seolah-olah pilih kasih terhadap pendidikan di negara ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan demonstrasi secara aman bersama ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan bangunan baharu SJKT Gunung Rapat pada Jumaat.

Hadir sama dalam demonstrasi tersebut Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing.

Iklan
Kar Hing menunjukkan jawapan bertulis KPM di Parlimen mengenai isu SJKT Gunung Rapat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Peru berkata, pembukaan sekolah tersebut perlu disegerakan memandangkan segala keperluan seperti perabot, perkakasan, pendingin hawa dan sebagainya sudah tersedia.

Beliau berkata, segala kemudahan tersebut adalah hasil sumbangan dan kutipan derma yang dilakukan bagi merealisasikan impian anak-anak masuk ke sekolah baharu secepat mungkin.

"Kami sudah muak dengan pelbagai alasan yang diberikan dan mahu pihak kementerian menyelesaikan isu-isu berkaitan dalam masa sebulan.

"Jika isu ini masih juga tak selesai, kita sedia berdemonstrasi di Putrajaya bagi memastikan sekolah ini dibuka," katanya.

Sementara itu, Kar Hing yang ditemui berkata, menerusi jawapan soalan bertulis di Parlimen, Kementerian Pendidikan menjelaskan sehingga 15 Februari 2022, bangunan baharu yang dibina dengan kos RM6.9 juta itu telah pun siap 98 peratus.

Menurutnya, dua peratus yang belum siap hanyalah tambahan infrastruktur melibatkan pihak Tenaga Nasional Berhad, Indah Water Konsortium dan Majlis Bandaraya Ipoh.

"Berdasarkan jawapan di Parlimen itu, sekolah ini dijangka siap pada 30 April 2022 tetapi sehingga kini, dua peratus yang belum siap itu masih tertangguh.

"Saya harap jika ada isu dalaman di pihak Kementerian Pendidikan, selesaikanlah segera demi kepentingan anak-anak di sini. Segerakanlah pembukaan sekolah ini," katanya.