BRATISLAVA - SLOVAKIA . Calon parti Progresif Slovakia Zuzana Caputova berjaya menewaskan calon parti pemerintah dalam pilihan raya presiden Slovakia yang berlangsung semalam, sekali gus mencipta sejarah tersendiri menjadi presiden wanita pertama negara itu.
Caputova layak menjadi presiden wanita pertama Slovakia apabila meraih 58 peratus undi berbanding calon pilihan parti pemerintah, Smer-SD, Maros Sefcovic yang hanya menerima 42 peratus undian.
Beliau dijadual mengangkat sumpah jawatan presiden pada 15 Jun depan, sebaik penyandang presiden Andrej Kiska menamatkan penggal pemerintahannya.
Ibu tunggal berusia 45 tahun berkenaan, berjaya menewaskan Sefcovic, seorang diplomat berprofil tinggi yang juga naib presiden Suruhanjaya Eropah.
Mula dikenali ramai sebagai peguam anti rasuah yang mengetuai perbicaraan kes melibatkan tapak pelupusan sampah haram yang berlarutan selama 14 tahun, Caputova yang tidak mempunyai latar belakang politik berkata, salah satu sebab beliau bertanding jawatan presiden adalah disebabkan pembunuhan wartawan penyiasat, Jan Kuciak.
Kuciak yang terkenal kerana usahanya menyiasat kaitan antara ahli politik dan jenayah terancang ditembak mati bersama tunangnya pada Februari tahun lalu.
Caputova menegaskan, persaingan dalam pilihan raya Slovakia kali ini merupakan pertembungan antara kuasa baik dan jahat.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin negara jiran termasuk Austria dan Ukraine menzahirkan sokongan kepada Caputova di laman sosial.- BBC