AMPANG - Terdesak ingin membayar hutang, seorang penghantar makanan diberkas setelah dipercayai mencuri cincin emas milik ibu kepada kakak iparnya dalam kejadian di Perumahan Polis Taman Keramat Permai di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang merupakan lelaki berumur 19 tahun itu diberkas di sekitar Jalan Putra Ampang di sini.
"Siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang apabila mangsa yang merupakan suri rumah berumur 33 tahun itu tiba di rumah dan mendapati pintu rumahnya terbuka.
"Mangsa kemudian masuk ke dalam rumah dan mendapati dua bentuk cincin emas milik ibunya yang diletakkan di atas penapis air Coway telah hilang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, suspek kemudian diberkas pada hari sama di sekitar Jalan Ampang, Putra di sini oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang kira-kira jam 11.30 malam.
"Motif kejadian adalah kerana suspek terdesak ingin menggunakan wang bagi tujuan membayar hutang," katanya.
Menurutnya, turut dirampas bersama suspek adalah resit pajakan kedai serta sejumlah wang tunai.
Sehubungan itu katanya,sSuspek direman tiga hari untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.