SHAH ALAM - Bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh memajukan tuntutan tebus rugi tidak melebihi RM50,000 kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan berkata, ia boleh dilakukan di mana-mana pejabat KPDNHEP setelah laporan polis dilakukan.
Jelas KPDNHEP, sekiranya tuntutan itu melebihi RM50,000, bakal haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.
Menurutnya, tuntutan tersebut boleh dilakukan sekiranya jalan penyelesaian di antara syarikat agensi berkaitan dan bakal jemaah haji yang terkandas tidak dapat dicapai.
"Semua tuntutan hendaklah disertai dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji tersebut,” katanya pada Jumaat.
Pada Khamis, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pagi Khamis, dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Susulan itu, KPDNHEP menyeru supaya syarikat agensi haji terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan segera bersama semua bakal haji yang terkandas.
"Ini supaya jalan penyelesaian yang murni dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak terutama pengguna iaitu bakal haji yang terkandas ini,” ujarnya.
Menurut KPDNHEP, tindakan segera dari bakal haji sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia.
Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM boleh menggunakan hotline TTPM di 1 800 88 9811, atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada ttpmputrajaya@kpdnhep.gov.my