Tukang gunting ditahan cuba culik bekas kekasih, anak

Iklan
Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melarikan bekas kekasihnya bersama anak mangsa yang berusia 6 tahun.

SHAH ALAM - Kerana masih sayang, seorang tukang gunting rambut bertindak nekad menculik bekas kekasih bersama anak mangsa yang berusia enam tahun di hadapan sebuah tadika di Seksyen U12 di sini pada Khamis.

Difahamkan, suami mangsa berusia 41 tahun membuat laporan polis kira-kira jam 6.15 petang selepas dimaklumkan oleh salah seorang guru di tadika berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun telah ditahan pada Jumaat ketika tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini untuk memberi keterangan pada jam 10.10 pagi.

"Suspek tampil ke IPD Shah Alam bersama mangsa susulan beberapa serbuan dijalankan di rumahnya dan rumah ibunya. Mangsa dan anaknya ditemui dalam keadaan selamat.

Iklan

"Hasil siasatan, wanita berusia 33 tahun itu menjelaskan bahawa suspek telah menolaknya ke tempat duduk penumpang dan merampas kenderaannya semasa anak lelaki mangsa berusia 6 tahun memasuki kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Iqbal berkata, motif kejadian dipercayai kerana mangsa yang juga seorang kerani telah menolak cinta bekas teman lelakinya itu.

Iklan

Katanya, kedua-dua ibu dan anak tidak mengalami sebarang kecederaan manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah.

"Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada Sabtu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," ujarnya.