KUSKOP tubuh federasi tangani isu ayam

Iklan
Noh (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada penerima pada Majlis Penyampaian APC Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor di One Plaza Kuala Selangor pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menubuhkan federasi ternakan ayam bagi menangani isu kenaikan harga ayam.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, buat masa ini terdapat 15 koperasi yang bertanggungjawab menguruskan pusat pengumpulan dan jualan ayam kepada pengguna.

Iklan
Iklan

"Kita ingin menghimpunkan semua ini (koperasi ternakan ayam) bagi tujuan pengumpulan dan pengedaran ayam," katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor di One Plaza Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, usaha federasi itu dilakukan bagi mengumpulkan ayam tempatan dan ayam luar negara dengan cara menubuhkan pusat pengumpulan dan pengedaran di setiap negeri.

Iklan

Katanya, kementeriannya juga sudah melakukan perbincangan dengan beberapa koperasi dan usahawan terlibat dalam ternakan ayam.

Menurutnya, federasi yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia itu dilakukan bagi menangani peranan orang tengah.

Iklan

"Ini bermaksud federasi akan membeli terus kepada pusat pengumpulan yang diuruskan koperasi terus kepada pengguna.

"Pusat pengumpulan ayam ini sudah diwujudkan dan kita sedang membuat satu perjanjian bersama dengan syarikat koperasi sebagai pengedar kepada pengguna," ujarnya.

Selain itu, katanya, usaha lain yang dilakukan KUSKOP ialah memperkenalkan bisnes secara dalam talian selain turut mengimport ayam sejuk beku dari luar negara.

"Rakyat juga ada pilihan sama ada hendak memilih ayam segar atau ayam sejuk beku dan kita akan pastikan ayam sejuk beku mestilah dijual lebih murah daripada ayam segar," katanya.