SKUAD Selangor FC mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA 2022 apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Michael Feictenbeiner itu bakal berdepan Sabah FC di Stadium Likas, 23 Julai ini.
Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak ke gawang lawan dalam usaha membuka jaringan.
Empat minit perlawanan bermula, penyerang Selangor FC, Herlison Caion berjaya meledak gol pembukaan buat Selangor FC, namun jaringan berkenaan dibatalkan setelah Caion didakwa melakukan kekasaran terhadap pemain pertahanan KL City FC.
Tersentak dengan situasi berkenaan, skuad KL City FC selepas itu dilihat turut melancarkan asakan ke gawang Selangor FC dalam usaha menjaringkan gol.
Bagaimanapun, asakan-asakan daripada kedua-dua pasukan dilihat gagal menghasilkan sebarang jaringan hingga tamat babak pertama.
Aksi babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling menggandakan asakan bagi memecah kebuntuan jaringan.
Akhirnya pemain gantian, Harith Haikal Adam Afkar bijak memanfaatkan peluang di depan gawang Selangor FC bagi menjaringkan gol pada minit ke-62.
Harith Haikal yang baru masuk menggantikan pemain import, Hein Htet Aung tenang menolak masuk bola menewasan penjaga gol Selangor FC, Samuel Jacob Sommerville.
KL City FC mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-75, namun peluang berkenaan gagal dimanfaatkan penyerang, Jordan Mintah apabila percubaannya diselamatkan Sommerville.
Di penghujung perlawanan, jentera serangan KL City FC dilihat masih tidak berputus asa untuk mengasak gawang Selangor FC dalam usaha menjaringkan gol penyamaan, namun segala asakan berkenaan gagal disempurnakan sehingga ke wisel penamat.