Poland sasar pasaran Malaysia untuk eksport epal

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

POLAND, satu daripada pengeluar epal terkemuka dunia dan terbesar di Eropah menyasarkan untuk menembusi pasaran Malaysia, kata Setiausaha Agung Persatuan Pengedar Buah dan Sayuran Poland, Paulina Kopec.

Poland kini sedang mencari pasaran baharu selepas tidak dapat mengeksport ke dua pasaran tradisi utamanya - Rusia dan Belarus berikutan sekatan yang dikenakan susulan krisis Ukraine.

Iklan
Iklan

"Kami berhasrat untuk meneroka pasaran Malaysia...kami dapat tahu epal adalah buah kegemaran ramai rakyat Malaysia," katanya dalam temu bual dengan Bernama pada pelancaran produk itu di sini Khamis.

Kopec berkata, persatuan itu sudah berbincang dengan pengimport buah-buahan Malaysia mengenai kemungkinan memulakan pengeksportan epal ke Malaysia secepat mungkin.

Terdapat 30 jenama epal dihasilkan di Poland antaranya Gala, Golden Delicious, Red Delicious, Red Chief, Red Jonaprince dan Najdared.

Iklan

Pada masa ini Mesir adalah pasaran terbesar epal Poland. Pasaran lain termasuk Israel, India, Vietnam, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Kopec berkata, selain Malaysia, pihaknya juga sedang mengintai peluang pasaran baharu di rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia malah benua Afrika.

Iklan

"Selain epal, kami juga memberi tumpuan kepada kemungkinan mengeksport beri ke Malaysia seperti beri biru dan strawberi," katanya.

Kopec berkata epal di Poland dihasilkan mengikut prinsip pertanian mampan dan Perjanjian Hijau Eropah dengan jaminan kualiti oleh pihak kawal selia yang berkaitan termasuk GLOBAL G. A. P. - Bernama