SHAH ALAM - Isu melibatkan pemandu serta penunggang warga asing tanpa lesen bukan perkara baharu di negara ini.
Saban hari, pasti akan terlihat kelibat warga asing sama ada yang menunggang motosikal membawa barangan untuk dijual melibatkan ais krim, karpet atau sebagainya.
Lebih mengejutkan terdapat juga warga asing yang dikesan memandu kenderaan berat seperti lori.
Senario sebegini bukan sesuatu yang dianggap ‘norma baharu’ kerana ia sudah berlaku sejak sekian lama dan menimbulkan kebimbangan masyarakat secara keseluruhannya.
Apa yang dilakukan oleh warga asing ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka seolah-olah tidak gentar dengan peruntukan undang-undang sedia ada di Malaysia.
Biarpun pelbagai operasi yang dilakukan agensi berkaitan terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun isu melibatkan penunggang serta pemandu warga asing ini nampaknya tidak berkesudahan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, seramai 136,448 warga asing direkodkan melakukan pelbagai kesalahan jalan raya di seluruh negara setakat Jun lalu.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 143,630 notis saman dikeluarkan bermula 2019 hingga 23 Jun lalu.
"Selangor pula mencatatkan jumlah warga asing yang dikesan melakukan kesalahan sama melibatkan sebanyak 6,851 notis saman,” katanya menerusi Op Pemandu Warga Asing (Pewa) di Persiaran Budiman di sini baru-baru ini.
Aedy Fadly berkata, sikap ambil mudah antara faktor menyumbang kepada isu melibatkan warga asing menunggang atau memandu tanpa lesen di jalan raya.
"Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan pihak kami, kebanyakan kenderaan yang dipandu oleh warga asing merupakan milik orang tempatan.
"Jadi pemilik kenderaan diingatkan supaya jangan sewenang-wenangnya membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing yang tidak memiliki lesen.
"Pelbagai risiko boleh berlaku sekiranya warga asing ini memandu atau menunggang kenderaan tanpa memiliki lesen sah dan terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Beliau berkata, bukan sahaja saman dikeluarkan kepada individu yang menunggang atau memandu, malah tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik kenderaan.
"Kenderaan berkenaan akan disita dan tindakan mahkamah akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Aedy Fadly berkata, kenderaan perkhidmatan barangan juga hanya boleh dipandu oleh warganegara dengan memiliki lesen sah.
"Peruntukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 sememangnya tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan perkhidmatan barangan,” katanya.
Majikan perlu main peranan
Dalam pada itu katanya, semua majikan perlu memastikan pekerja warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan syarikat tanpa lesen.
"Kadangkala majikan ini tidak kisah dan membenarkan pekerja asing membawa kenderaan walaupun tahu mereka tiada lesen. Tindakan tegas akan terus diambil sekiranya pekerja mereka ditahan.
"Kenderaan mereka akan disita dan dalam masa sama majikan juga akan dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Aedy Fadly berkata, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan kesalahan jalan raya.
"Operasi penguatkuasaan seperti Op Pewa akan dijalankan secara berterusan bagi mengatasi masalah berkaitan penunggang dan pemandu warga asing ini.
"Isu ini serius kerana melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Menunggang atau memandu tanpa lesen sah bukan sahaja merisikokan diri sendiri malah boleh memberi kesan kepada orang lain,” katanya.Tidak hormat undang-undang.
Sementara itu, Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, tindakan warga asing yang membawa kenderaan tanpa lesen disebabkan kurangnya rasa hormat terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.
"Warga asing sebenarnya tahu mereka tidak dibenarkan menunggang atau memandu tanpa lesen kerana ia satu kesalahan di negara ini, namun kesedaran itu kurang.
"Tambahan pula dengan penguatkuasaan yang mungkin pada mereka tidak terlalu ketat mengakibatkan mereka berani bertindak sedemikian,” katanya.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara meluas dan lebih kerap dengan memfokuskan di semua kawasan.
"Saya tidak katakan operasi pihak berkuasa itu tidak serius, namun pada saya ia perlu ditingkatkan lagi.
"Perlu diingat, menunggang atau memandu tanpa lesen adalah satu kesalahan sama ada melibatkan warga tempatan atau warga asing, namun apabila kita lihat warga asing ini sudah berani bertindak sedemikian, seharusnya kaedah atau mekanisme bagi menangani perkara ini perlu dikaji semula,” katanya.
Menurutnya, perasaan takut terhadap peruntukan undang-undang itu perlu ada bagi memastikan warga asing tidak berani untuk membawa kenderaan tanpa lesen di jalan raya.
"Dalam soal ini, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan dan operasi tidak perlu bermusim.
"Sekiranya dilaksanakan operasi secara berkala sekali gus akan menyebabkan mereka tidak takut dan berani untuk melanggar undang-undang yang telah diperuntukkan,” katanya.
INFO
Kes penunggang, pemandu warga asing
3 DISEMBER 2021
PETALING JAYA - Tindakan segelintir warga asing memandu kenderaan tanpa lesen di sekitar Ampang dekat sini mengundang padah apabila 25 individu ditahan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd. Zaki Ismail berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi mengesan kesalahan pemandu dan kenderaan terutama warga asing yang tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan.
"Operasi berkenaan turut menyita 25 kenderaan termasuk lima lori milik syarikat kontraktor pembersihan yang dipandu warga asing,” katanya.
3 JUN 2022
SUNGAI BULOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita 16 buah kenderaan menerusi Op Pewa di Paya Jaras, di sini.
Pengarah JPJ Negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) itu memeriksa sebanyak 119 buah kenderaan pelbagai jenis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, 16 kenderaan telah disita selain turut mengeluarkan 98 notis kompaun, 60 notis larangan penggunaan kenderaan dan 60 notis arah periksa.