KUALA LUMPUR - Pelan pengurusan trafik khususnya berhampiran kawasan pembinaan perlu dijalankan secara lebih menyeluruh dan efisien bagi segera mengurangkan kesesakan trafik di ibu negara.
Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi MARA, Profesor Madya Dr Masria Mustafa berkata projek pembinaan yang dijalankan serentak kerana tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun menyebabkan kawalan trafik tidak dijalankan dengan baik.
Justeru, Masria yang juga Pensyarah Sistem Trafik dan Pengangkutan mencadangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyelaras sistem trafik dengan lebih rapi antaranya aspek penutupan jalan yang dilaksanakan di kawasan pembinaan berbeza selain memantau sekiranya terdapat ketidakpatuhan yang boleh membawa kepada pembatalan kelulusan asal.
"Setiap agensi terlibat dalam pembinaan perlu bertanggungjawab, perlu ada komunikasi antara mereka contohnya struktur binaan yang besar untuk dibawa masuk tentunya perlukan perancangan jalan yang terlibat dan juga sekiranya ia memerlukan penutupan jalan.
"Macam situasi sekarang tak ada koordinasi, jadi pihak terlibat seperti pemaju dan kontraktor berbeza ini tidak tahu berkenaan kawalan trafik di kawasan lain, maka trafik akan jadi tidak terkawal dan banyak terjadi 'bottleneck' (cerutan jalan) yang menyebabkan kesesakan," katanya.
Memberi contoh pelaksanaan larangan kenderaan berat melebihi 7.5 tan memasuki pusat bandar pada waktu puncak oleh DBKL hujung bulan lepas, Masria berkata, ia dilihat sukar mencapai matlamat sekiranya tidak dilaksanakan secara bersepadu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Lembah Klang.
"Kenderaan berat ini mungkin ambil alternatif lain misalnya melalui jalan di Petaling Jaya, dikelola Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang tidak melaksanakan peraturan yang sama, jadi masalah kesesakan masih akan berlaku kerana pergerakan dan laluan kenderaan melibatkan seluruh Lembah Klang," katanya yang turut mencadangkan komunikasi antara agensi dan seterusnya kementerian khususnya Kerja Raya dan Pengangkutan dijalankan secara lebih proaktif.
Masria turut berpandangan pembinaan lebih banyak lebuh raya seperti Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), Bangi-Putrajaya Expressway (BPE) dan KL Node yang dilaporkan dalam proses penelitian dan kelulusan tidak akan mampu mengatasi kesesakan lalu lintas malah dikhuatiri memburukkan situasi.
"Menaik dan menambah kapasiti jalan akan menyebabkan orang ramai meneruskan tabiat pemanduan (menggunakan kenderaan persendirian), yang disokong oleh teori induced demand dan masalah kesesakan ini tidak akan selesai," katanya yang juga khuatir tentang impak terhadap alam sekitar.
Turut senada, Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Kulanthayan K.C Mani yang berpandangan pembinaan lebuh raya hanya akan menyebabkan pertambahan kenderaan persendirian.
"Lebih banyak lorong ditawarkan juga akan membawa lebih banyak situasi cerutan jalan dengan kenderaan mengurangkan kelajuan untuk 'merge' (masuk ke satu lorong yang sama) dan seterusnya memperlahankan aliran trafik," katanya.
Kulanthayan berkata, jumlah kenderaan di negara ini dilihat telah mengatasi populasi manusia iaitu peningkatan sekurang-kurangnya sejuta kenderaan setiap tahun sejak 2019 dengan pada tahun lepas sebanyak 33.3 juta kenderaan berdaftar berbanding populasi manusia berjumlah 32.6 juta.
Pengarah Eksekutif Safe Kids itu antara lain turut mencadangkan langkah segera seperti kajian teliti pelaksanaan bekerja dari rumah dan memaksimumkan perkhidmatan yang dapat mengurangkan pergerakan kenderaan pensendirian atas jalan raya dilaksanakan secara lebih meluas memandangkan sistem pengangkutan awam masih belum siap sepenuhnya. - Bernama