SERAMAI 16 atlet Johor yang bakal bertanding pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 diharapkan dapat menyumbang pingat untuk negara.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, angkat berat, badminton, berbasikal, olahraga, ping pong dan ragbi merupakan antara acara yang diwakili atlet negeri ini.
"Seramai 16 atlet anak Johor yang mewakili Malaysia. Insya-ALLAH jika diizinkan saya akan bersama-sama ke London untuk melihat sendiri mereka di sana.
"Kita akan beri semangat dan beri perangsang kepada mereka, harap mereka beroleh kemenangan dan sumbang pingat untuk negara... harap mereka terus berlatih dan harumkan nama Johor juga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Badminton Piala Paragon 2022, di sini pada Sabtu.
Mohd Hairi berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai ganjaran yang akan diberikan kepada mereka sekiranya mendapat pingat.
Sementara itu, beliau berkata, Johor menetapkan sasaran memenangi 40 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang dijadualkan berlangsung pada September depan.
"Sukma untuk September nanti seperti yang dimaklumkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor, kita sasar 40 pingat emas.
"Kalau lebih daripada itu adalah bonus, kita harapkan mereka lakukan yang terbaik,” katanya.
Sukma 2022 dijadual berlangsung di sekitar Lembah Klang sempena Hari Malaysia, bermula pada 16 sehingga 24 September dengan 31 jenis sukan dipertandingkan. - Bernama