Lembu sado satu tan bakal dikorbankan Isnin ini

Iklan
Ahmad Amzad bersama lembu Charolais yang akan dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha kedua nanti.

KUALA TERENGGANU – Seekor lembu sado baka Charolais seberat lebih satu tan merupakan antara 24 ekor lembu yang bakal dikorbankan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu pada Hari Raya Aidiladha.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, semua lembu tersebut akan disembelih dalam program korban perdana pada Isnin iaitu hari kedua Aidiladha.

Iklan
Iklan

"Ibadah korban diadakan di pekarangan Pusat Tarbiyyah Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Kampung Kubang Parit, manakala seekor lembu diserah untuk dikorbankan di Masjid At-Taqwa, Durian Burung.

"Alhamdulillah, pada tahun lepas, kita telah berjaya korbankan sebanyak 23 ekor lembu, manakala tahun ini pula meningkat seekor. Hanya seekor lembu sado akan disembelih, selebihnya bersaiz sederhana,” katanya di sini pada Khamis.

Iklan

Menurut Ahmad Amzad, dianggarkan seramai 5,000 penduduk dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan menerima sumbangan daging korban berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, agihan daging kepada penerima dilakukan petugas sebaik sahaja aktiviti melapah selesai.

Iklan

"Ini tahun yang mencabar untuk rakyat, ramai susah. Ramai tidak mampu beli daging kerana harga meningkat. Semoga dengan ibadah korban ini, lebih ramai rakyat dapat menerima daging korban nanti.

"Lebih bermakna, kita jangka lebih ramai sukarelawan turun gotong-royong memudahkan perlaksanaan sembelih, memproses dan mengagihkan daging korban pada tahun ini berbanding tahun lalu,” katanya.