Ibadah korban tanda kesyukuran: Mufti

Iklan
Abdul Rahman

SHAH ALAM - Umat Islam yang berkemampuan digalak melaksanakan ibadah korban sebagai tanda kesyukuran kepada ALLAH SWT selepas diuji dengan pelbagai dugaan termasuk pandemik Covid-19 yang mengehadkan aktiviti mereka sejak dua tahun sebelum ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, ibadah itu merupakan perkara yang amat dituntut atau digalak kepada umat Islam yang berkemampuan.

Iklan
Iklan

"Apabila kita telah diberikan kemudahan (untuk melaksanakan ibadah korban), selamat daripada pandemik (Covid-19) yang merisaukan, sepatutnya kita (bagi yang mampu) berkorban tanda kesyukuran kepada ALLAH SWT.

"Sebagaimana yang disyariatkan, apabila kita menerima nikmat kita bersyukur kepada ALLAH SWT, kita menunaikan solat dan melakukan ibadah-ibadah lain.

Iklan

"Sebab itu amat digalak kepada mereka yang mampu untuk berkorban bagi menunjukkan kita bersyukur,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, dalam kegembiraan menyambut Aidiladha tahun ini, orang ramai turut diingatkan agar mengamalkan kawalan kendiri bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19.

Iklan

"Walau apa pun yang kita lakukan, sentiasalah ingat bahawa Covid-19 ini masih ada. Jadi, amalkan sikap berpada-pada selalu,” katanya.

Pada 29 Jun lalu, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman pada Rabu mengisytiharkan Umat Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Ahad ini.

Pengumuman itu dibuat selepas sesi pencerapan dibuat oleh panel falak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di 29 lokasi di seluruh negara, petang tarikh sama.