BANGKOK - Lima lelaki dipercayai anggota militan maut dalam tiga insiden berbalas tembakan selepas pihak berkuasa Thailand melancarkan operasi membanteras kumpulan miltan di Yala, Pattani dan Narathiwat.
Insiden terbaharu berlaku di daerah Raman, Yala pada Jumaat menyaksikan dua anggota militan maut.
Ketua Polis Kota Bharu Raman, Kolonel Rattaponchai Pensongkram berkata, dalam insiden pada 3 pagi (waktu tempatan) itu, pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian sekumpulan anggota militan.
"Menyedari kehadiran pasukan keselamatan, anggota militan cuba meloloskan diri dan menyebabkan berlaku insiden berbalas tembakan. Pasukan keselamatan kemudian menemukan dua mayat dan senjata api,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, pada satu sidang media, Komander Tentera Bahagian Ke-4, Leftenan Jeneral, Kriangkrai Srirak berkata, pasukan keselamatan turut menahan lapan militan yang menyerah diri, dipercayai anggota Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (PULO).
Beliau berkata, pada 5 Julai pasukan keselamatan menemukan mayat seorang lelaki dipercayai anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Patani dan turut menahan seorang lelaki di Yala.
"Dua hari kemudian, dua lagi militan maut di Rueso, Narathiwat manakala beberapa lelaki bersenjata berjaya meloloskan diri,” katanya. - Bernama