WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Rumah Putih semalam mempertahankan keputusan Presiden Donald Trump menghentikan bantuan kewangan kepada tiga negara Amerika Tengah.
Minggu lalu, Presiden Trump mengumumkan penamatan bantuan tersebut kepada El Salvador, Honduras dan Guatemala dengan alasan ketiga-tiga negara tidak membantu membendung kebanjiran imigran ke Amerika Syarikat (AS).
Iklan
Iklan
Jutawan hartanah itu sekali lagi turut mengugut akan menutup sempadan AS dengan Mexico bagi mengekang kedatangan imigran.
"Jika kita mahu memberi jutaan dolar kepada ketiga-tiga negara berkenaan, mereka harus lebih membantu AS," kata pemangku Ketua Kakitangan Rumah Putih Mick Mulvaney dalam satu kenyataan.
Bantuan kewangan terbabit disalurkan untuk membiayai program memerangi aktiviti melibatkan ahli geng selain memajukan ekonomi ketiga-tiga negara itu, selain bertujuan mengenal pasti punca sebenar kebanjiran imigran.
Dalam pada itu, Senator Dick Durbin dari Parti Demokrat menegaskan keputusan Trump tidak membantu memperbaiki situasi malah hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Menurut Durbin, AS seharusnya membantu ketiga-tiga negara terbabit yang semakin ' lumpuh', di mana rakyatnya berusaha meninggalkan negara masing-masing demi mencari masa depan lebih baik di AS.