'Terima kasih atas ucapan takziah pemergian Shinzo Abe'

Iklan
Tangkap layar ciapan Katsuhiko Takahashi.

KUALA LUMPUR - Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe yang ditembak seorang lelaki pada Jumaat.

Takahashi dalam hantarannya di Twitter berkata, bendera Jepun dinaikkan separuh tiang di kediaman dan kedutaan.

Iklan
Iklan

"Terima kasih, sahabat-sahabat di Malaysia untuk ucapan takziah itu. Kami menaikkan bendera separuh tiang di kediaman dan kedutaan,” kata beliau.

Abe, 67, ditembak dari belakang semasa berucap dalam satu kempen pilihan raya di bandar raya Nara pada Jumaat.

Iklan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Abe dan menzahirkan dukacita Seri Paduka Baginda berdua di atas pemergian beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas pemergian Abe.

Iklan

Barisan pemimpin dan pelbagai organisasi di Malaysia juga mengucapkan takziah.

Abe menjadi Perdana Menteri selama dua penggal, penggal pertama pada 2006 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2020.

Beliau juga merupakan Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat.

Kali terakhir bekas Perdana Menteri dan ahli politik berpengaruh Jepun itu melawat Malaysia ialah dari 10 hingga 12 Mac tahun ini sebagai Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida bersempena ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur dan ulang tahun ke-56 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun. - Bernama