15 keluarga mangsa banjir di Baling ditawar rumah sementara

Iklan
Abdul Azeez

BALING - Sebanyak 15 keluarga yang hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air di sini Isnin lepas akan ditawarkan tempat tinggal sementara.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya bercadang mendirikan rumah kontena untuk semua keluarga tersebut di pekarangan Masjid Raudhatul Falah, Kampung Iboi, Kupang di sini.

Iklan
Iklan

"Penempatan sementara itu bagi membolehkan mereka tinggal lebih selesa selepas beberapa hari tinggal di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.

"Saya akan berbincang dengan semua 15 keluarga terbabit bagi mendapatkan persetujuan mereka dan pihak masjid juga telah memberikan kebenaran. Kedudukan kawasan itu juga tinggi, jadi ia adalah selamat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Raudhatul Falah di Kampung Iboi, Kupang pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, pembinaan rumah kontena itu diharap dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu dan akan dilengkapi kemudahan asas agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan selesa.

Abdul Azeez bagaimanapun berharap kesemua penduduk terbabit tidak dibiarkan tinggal terlalu lama di rumah tersebut, sekali gus menyeru kerajaan Persekutuan dan negeri menyediakan tapak lebih sesuai untuk didirikan kediaman baharu.

Iklan

"Bagi rumah mangsa banjir yang rosak pula, banyak agensi berkaitan terutama di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyediakan peruntukan atau bantuan membaik pulih kerosakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan semua mangsa banjir yang terjejas akan menerima sumbangan pelbagai peralatan termasuk televisyen dan kelengkapan memasak.

"Insya-ALLAH kami sudah mula edarkan sejak dua hari lepas, pada hari ini pun kami akan edarkan barangan keperluan mendesak ini untuk mereka menjalani kehidupan lebih selesa," katanya. - Bernama.