PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky enggan mengambil risiko memecahkan gandingan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik buat masa sekarang.
Rexy menjelaskan amat sukar untuk membuat tindakan drastik itu memandangkan pemain simpanan di BAM ketika ini belum lagi mencapai tahap memuaskan selain berkedudukan ranking yang jauh lebih rendah daripada Aaron-Wooi Yik seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun (38) serta Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri (80).
"Misalnya, jika di Indonesia, saya fikir mereka tiada masalah untuk berpecah sekiranya perlu kerana dua beregu muda mereka juga berada di ‘top’ 20 seperti Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan (14) serta Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (20).
"Mereka (pasangan Indonesia) juga tidak perlu waktu lama untuk capai keserasian dan boleh bermain malah sehingga kejohanan Super 1000 sekalipun namun jika di Malaysia, katakan kita mahu pasangkan Aaron dengan pemain lebih muda dan akan mula dengan main tahap Super 300 pasti akan rugi banyak kejohanan,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian pada Ahad.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik yang mula digandingkan pada 2017 belum lagi memenangi mana-mana kejohanan terbuka, dengan pencapaian terbaik setakat ini adalah meraih gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun, tahun lepas.
Pasangan nombor enam dunia itu juga gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri iaitu Terbuka Malaysia 2022 dan Masters Malaysia 2022 selepas terkandas di peringkat separuh akhir pada dua kejohanan tersebut.
Aaron-Wooi Yik tumbang kepada pasangan kedua dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, 21-23, 9-21 di Terbuka Malaysia 2022 diikuti tumpas kepada pasangan kelima dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia, 14-21, 21-19, 10-21 pada Masters Malaysia 2022, semalam.
Dalam pada itu, Rexy ternyata kecewa dengan prestasi ditampilkan dua beregu utama BAM, Aaron-Wooi Yik serta gandingan ke-12 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada dua kejohanan di Malaysia, yang jauh daripada standard sebenar memandangkan kedua-dua mereka berada pada kelompok 20 teratas dunia.
Mengambil contoh pertemuan menentang Fajar-Muhammad Rian pada Masters Malaysia, Rexy melihat Aaron-Wooi Yik merasakan diri mereka lebih hebat daripada lawannya sehingga memakan diri.
"Bila tengok video sebelum ini kita beritahu untuk main seperti diperlukan namun di lapangan sangat bertentangan dan nampak panik... Memandangkan mereka (Aaron-Wooi Yik) berada pada ranking 10 terbaik dunia selain pernah menang pingat Olimpik sebelum ini, mereka harus ada sikap ‘nothing to lose’.
"Saya lihat ketika memanas badan Fajar-Muhammad Rian nampak tak tertekan sedangkan Aaron-Wooi Yik pula terlalu banyak fikir harus menang perlawanan semalam,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Aaron serta Wooi Yik perlu jujur dengan meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati mereka kepadanya.
Ini katanya, sangat berbeza dengan Sze Fei yang bersikap jujur apabila mengakui takut dengan asakan Fajar-Muhammad Rian pada ‘interval’ set pertama sebelum tewas pada pusingan pertama Masters Malaysia 2022 bersama Nur Izzuddin, 14-21, 20-22.
Bagaimanapun, Rexy percaya kekecewaan dialami dalam kedua-dua kejohanan itu akan membakar semangat mereka untuk beraksi cemerlang pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.
Sukan Komanwel 2022 dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos. - Bernama