SHAH ALAM - Seluruh umat Islam diingatkan agar berhati-hati dalam tindakan dan ucapan supaya tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama suci ini.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, ini kerana individu yang terlibat bukan sahaja berdepan dengan kemarahan umat Islam, malah mendapat kemurkaan ALLAH SWT yang azabnya sangat dahsyat.
"Islam adalah agama yang suci. Suatu agama yang tidak sekadar dianuti bahkan diperintah agar ia dipraktis dalam kehidupan ini. Justeru, Islam di sebut sebagai ‘way of life’ atau Minhaajul Hayah.
"Justeru, tidak sahaja Islam melarang penganutnya menghina agama lain, maka terlebih utama seorang muslim diwajibkan memelihara maruah dan kesucian agama Islam yang dianutinya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kontroversi melibatkan seorang wanita yang dipercayai menghina kesucian agama Islam melalui video tularnya yang berlaku di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) merupakan tindakan yang tidak boleh diterima.
Ini kerana katanya, tindakan wanita itu yang tampil dikhalayak dalam keadaan menutup aurat dan membuat pengakuan menghafal al-Quran tetapi secara tiba-tiba menanggalkan pakaian hingga separuh ‘telanjang’ jelas mempersenda dan memperkecilkan agama.
"Ia bukan sahaja perbuatan yang mencabul harga diri individu yang terlibat tetapi juga meluruhkan nilai mulia pada agama yang dianuti serta mempalit rasa malu kepada seluruh umat Islam.
"Agama Islam bukan prop komedian yang boleh dilantun sesuka hati, meskipun mendapat tepukan gemuruh dari audien, tindakan itu tidak boleh dinilai sebagai bahan lawak jenaka melainkan ia suatu perbuatan yang hina dan jijik kerana mempersendakan ajaran wahyu dari Tuhan Yang Maha Mencipta,” katanya.
Pada Sabtu, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab di Kuala Lumpur.
Dalam video itu, wanita berkenaan mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.