KOTA BHARU - Kedatangan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kelantan selama dua hari, sekadar mahu menguji sokongan hubungan antara Pas dan UMNO.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar bagaimanapun berkata, cara yang digunakan Najib dengan membawa gelaran Bossku tidak akan menjejaskan politik negeri ini.
Selain itu, katanya, Ahli Parlimen Pekan itu juga seperti ingin melihat sejauh mana sokongan terhadap beliau sendiri yang ketika ini berdepan dengan pelbagai pertuduhan masih belum selesai di mahkamah.
"Beliau datang untuk 'test market' selepas UMNO dan Pas seakan-akan duduk serumah. Kesan jangka pendek mungkin ada kerana pengaruh Bossku, (tetapi) kemungkinan besar tidak memberi apa-apa kesan pun untuk politik di Kelantan.
"Ini kerana rakyat Kelantan sudah cerdik, mereka mahukan pembangunan dan perubahan yang sepatutnya dilakukan lama dahulu lagi, bukannya sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata, kunjungan Najib ke negeri ini dalam usaha merapatkan hubungan kedua-dua parti di peringkat bawahan lagi.
"Di mata kasar kita melihat ahli dan penyokong Pas mula menerima beliau. Mereka sudah mula melupakan kesalahan Najib. Pun begitu keadaan mungkin akan berubah apabila Najib dipenjarakan,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jika Pas-UMNO bersatu, Islam dapat dipertahan
Menurutnya, senario semasa ini menunjukkan bahawa ia membawa keuntungan kepada Pas, atau dalam kata lainnya kerajaan di Kelantan akan terus kekal.
Namun begitu, katanya, dengan ‘sorakan’ yang dicetuskan Najib selama dua hari itu sedikit sebanyak menjejaskan PH disebabkan Amanah tidak dapat mempengaruhi ahli Pas, dan Bersatu pula gagal meraih sokongan pengikut UMNO.
"Sudah masanya, Pas dan UMNO isytiharkan kerjasama secara terbuka dan rasmi.
"Tak perlu selindung di sebalik taawun atau apa-apa lagi. Orang Melayu akan sokong. Sudah sampai masanya jadi parti rasmi sebagai pejuang bangsa dan agama,” katanya.
Jumaat dan Sabtu lalu, Najib bersarapan bersama rakyat di Ayang Cafe dan Kopitiam Kita, bertemu peniaga di Pasar Siti Khadijah dan menghadiri pertemuan pimpinan Umno Kelantan serta merasmikan kejohanan boxing di Bachok.
Najib menyifatkan sambutan yang diterimanya daripada penduduk Kelantan sebagai luar biasa.